Saham perbankan rugi teruk
KLCI jatuh 86.5 mata, atau 8.5 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 934.01 mata, dengan purata dagangan harian meningkat kepada 550.5 juta saham, berbanding purata 324.6 juta saham minggu sebelumnya.
Ternyata dunia kini berdepan dengan krisis keyakinan apabila bank enggan memberi pinjaman kepada satu sama lain di sebalik langkah bank pusat membuat suntikan tunai, mengambil langkah menyelamat dan mengurangkan kadar faedah bagi memastikan pasaran kewangan dan ekonomi global terus lancar.
Bimbang akan risiko yang menimpa rakan sejawatan dan lebih banyak bank menemui kegagalan jika krisis ekonomi global bertukar menjadi kemelesetan yang berlarutan, menjadi antara faktor utama kepada krisis keyakinan itu.
Kekurangan keyakinan dalam sistem kewangan itu adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan kesan daripada segala pendekatan yang telah diambil setakat ini kelihatan tidak bermakna.
Sebagai langkah mengawal kejadian yang lebih teruk, pemimpin G7 menggembar-gemburkan untuk mengambil langkah tidak membekukan pasaran wang dan kredit tetapi tidak membuat apa-apa pengumuman sebarang langkah setakat ini.
Ini menjadi satu kekecewaan besar apabila pasaran menjangkakan ada pelan konkrit seperti langkah yang diambil United Kingdom (UK) yang menjamin pemberian pinjaman di kalangan banknya.
Pada waktu sebegini, langkah drastik yang diambil secara bersama adalah perlu sehingga pasaran kembali seperti sedia kala dan pendekatan ini tidak perlu dilakukan dalam semangat laissez-fare (kebebasan kepada individu).
Buat permulaan, AS perlu meneruskan langkah menghalang kegiatan jualan singkat di saham kewangan, yang berakhir Rabu lalu.
Tiada keperluan segera untuk kembali kepada amalan pasaran bebas memandangkan tiada satu pun daripada langkah menyelamat diambil oleh Rizab Persekutuan AS setakat ini adalah sealiran dengan ideologi ekonomi.
Malah, langkah sekatan itu seharusnya dikenakan secara menyeluruh.
Sementara itu, tiada salahnya jika bank pusat di seluruh dunia mengikut jejak langkah UK dalam memberi jaminan pemberian pinjaman antara bank bagi memastikan wujud kegiatan pemberian pinjaman yang sihat di kalangan bank mereka.
Pada peringkat tempatan, meskipun kebimbangan dan keadaan panik di pasaran ekuiti tidak merebak ke dalam ekonomi sebenar, bank pusat perlu mengambil langkah menjamin deposit bank sebagai langkah pencegahan bagi mengelak bank daripada kekurangan bekalan.
Kerajaan perlu bersedia memperluaskan langkah pencegahan itu termasuk dengan cara mewujudkan dana menyelamat untuk membeli saham yang baik jika ia diniagakan pada nilai yang tertekan kerana kesan negatif daripada penjualan berterusan akan memberi impak kepada ekonomi secara keseluruhannya.
Ia juga perlu memperkenalkan lebih banyak langkah rangsangan fiskal bagi mengekalkan permintaan domestik dan memastikan sumber disalurkan ke dalam kegiatan yang mempunyai kesan penggandaan yang lebih tinggi dan digunakan dengan cara paling berkesan.
Pasaran ekuiti bagi minggu ini masih berhubung kait dengan faktor luaran.
Pelabur dinasihatkan menjauhi pasaran di sebalik ada banyak saham yang kukuh didagangkan pada bukan nilai permintaannya.
Pada waktu kritikal seperti ini, sentimen mendahului asas perniagaan dengan asas kekukuhan tidak kelihatan sehinggalah keyakinan muncul semula.
Disebabkan itu, adalah lebih baik untuk menunggu sehingga pasaran kembali stabil sebelum membuat percubaan ‘menyelam di laut dalam bagi mencari mutiara’.