Struktur asas ekonomi Malaysia berdaya tahan

Malaysia dijangkakan tidak menerima kesan besar daripada kegawatan ekonomi global ketika ini kerana struktur asas ekonominya yang lebih kukuh berbanding 10 tahun lalu, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi CIMB Investment Bank, Lee Heng Guie, berkata sejak krisis kewangan Asia 1997/98, Malaysia diiktiraf dari segi pembangunan asas ekonominya, walaupun wujud beberapa risiko jangka pendek dan isu struktur.

“Antara pembangunan positif termasuk simpanan tinggi, hutang luar terurus, lebihan akaun semasa tinggi, kekukuhan rizab antarabangsa dan memiliki sistem perbankan terkawal serta pasaran modal yang maju.

“Struktur itu akan membantu mengurangkan sebahagian kejutan luaran ke atas ekonomi negara,” katanya.

Dari segi kesan ke atas eksport, Lee berkata, walaupun ekonomi negara kini lebih terbuka, pelbagaian produk dan pasaran akan mengurangkan kesan sebarang penurunan permintaan dari negara maju.

“Kebergantungan ke atas eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) susut daripada 53.1 peratus pada 1998 kepada 38.3 peratus tahun ini, manakala eksport minyak sawit dan minyak mentah pula, meningkat daripada 8.8 peratus kepada 15.2 peratus kini.

“Destinasi eksport juga kini lebih pelbagai dengan 56.6 peratus adalah ke negara Asia Timur berbanding 48.8 peratus pada 1998. Walaupun berlaku kegawatan ekonomi khususnya di negara maju, pembangunan di rantau ini, walaupun lebih perlahan, akan terus menyokong perdagangan antara Asia.

“Permintaan domestik yang mewakili kira-kira 85 peratus ekonomi akan terus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2009.

“Walaupun perbelanjaan pengguna dijangka lebih perlahan kepada 6.3 peratus tahun ini (berbanding 10.3 peratus pada 2007) susulan peningkatan inflasi, ia dijangka terus kukuh selagi ada jaminan pekerjaan,” katanya.

Katanya, jumlah pengurangan pekerja tahun ini iaitu 5,218 orang jauh lebih rendah berbanding 83,835 direkodkan pada 1998.

“Perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi iaitu RM51.7 bilion tahun depan, naik 11.8 peratus daripada RM46.3 bilion tahun ini akan merangsang pertumbuhan,” katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url