Banyak keistimewaan solat Subuh berjemaah

Waktu paling liat untuk bangun tidur ialah ketika hampir masuk waktu subuh. Jika pada masa itu hujan renyai dengan hembusan angin dingin pula, maka tambah malas hendak bangun dan semakin kuat tangan menarik selimut.

Walaupun hakikatnya kita sudah terjaga, oleh kerana telinga didendangkan syaitan bahawa tidur lebih nikmat daripada bangun, maka ada antara kita terus berlengkar macam ular sawa di tempat tidur sehingga waktu subuh berlalu.

Setiap orang pasti menempuhnya kerana waktu subuh adalah masa cukup enak melayan fikiran di tempat tidur. Justeru, hati malas dan liat untuk bangun memberi peluang syaitan berjaya menggoda.

Susahnya untuk bangun pagi bagi menunaikan solat Subuh adalah ujian melihat sejauh mana tahap keimanan kepada-Nya. Ujian seperti ini dihadapi umat manusia tanpa kecuali sejak Nabi Adam diciptakan hingga hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif lam mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (begitu saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 2) Mendirikan solat Subuh berjemaah di surau atau masjid perkara yang berat untuk dikerjakan. Ujian itu dikira berat kerana banyak godaan dan halangan sebelum berjaya melangkah kaki ke surau atau masjid.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekali pun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh mengerjakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat bersama orang ramai. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang diikat, mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktu subuh bermula sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Masalah itu ditegaskan sekali lagi oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mendapatkan satu rakaat solat Subuh sebelum terbit matahari, maka dia sudah melaksanakan solat Subuh." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Sesungguhnya sesiapa yang pergi ke surau atau masjid untuk mendirikan solat Subuh berjemaah akan mendapatkan banyak keistimewaan dan pahala dibandingkan orang yang melaksanakan solat fardu selain solat Subuh berjemaah.

Antaranya ialah mendapat pahala seperti orang yang solat berjemaah iaitu 27 darjat pahala, memperoleh kebaikan yang banyak, dihapuskan amal kejahatan, dinaikkan darjat dan kedudukan, dijanjikan syurga dan malaikat mendoakannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat dua waktu yang sejuk, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asya'ri)

Keistimewaan lain yang diperoleh mereka yang mendirikan solat Subuh berjemaah ialah seakan-akan melaksanakan solat malam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia bersolat setengah malam. Barang siapa mengerjakan solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak) maka seakan-akan dia melaksanakan solat malam selama satu malam." (Hadis riwayat Muslim)

Subuh adalah sumber segala cahaya pada hari kiamat kelak. Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat kepada mereka yang mendirikan solat Subuh dengan berjemaah di surau atau masjid.

Walaupun cahaya bagi orang beriman pada hari kiamat berbeza, Allah tidak akan mencabut cahaya itu di mana saja dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirat al-Mustaqim. Allah akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat." (Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) Dalam kegelapan bermaksud solat Isyak dan Subuh.

Waktu subuh amat singkat, oleh itu mereka yang ingin mendirikan solat Subuh harus bersedia awal sebelum masuknya waktu.

Solat tepat pada waktunya adalah ibadah yang disukai Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah mengerjakan solat (tepat) pada waktunya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Next Post Previous Post
1 Comments
  • widydib
    widydib Rabu, 19 November 2008 pada 11:52:00 PTG SGT

    mmg susah bangun subuh...

Add Comment
comment url