Sistem urus niaga di Bursa Malaysia akan ditukar

Sistem Urus Niaga (Score), sistem dagangan harian yang digunakan oleh Bursa Malaysia ketika ini, akan digantikan dengan sistem baru dan canggih dikenali sebagai Sekuriti Dagangan Bursa (BTS) mulai 1 Disember ini.

Platform dagangan ekuiti baru bernilai RM100 juta itu, selain dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam dagangan harian, turut menyediakan akses lebih luas kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk bergiat cergas dalam sesi dagangan harian.

Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, (gambar) berkata pengenalan sistem baru itu menandakan selesai proses sistem dagangan bersepadu dalam dagangan harian di Bursa Malaysia.

Katanya, BTS, sistem penyelesaian yang disediakan NYSE Euronext itu akan memberi kelebihan kepada pelabur untuk membuat penilaian saham di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, pengenalan sistem dagangan ekuiti ini bukan saja diperlukan, bahkan sesuai dalam dagangan sekarang.

"Score yang digunakan ketika ini berusia 18 tahun dan dengan pengembangan pasaran modal yang pesat, Bursa Malaysia memerlukan sistem dagangan terkini seperti BTS untuk terus berdaya saing," katanya pada sidang media mengenai BTS, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Omar Merican, Ketua Pegawai Operasi Pasaran, Devanesan Evanson dan Ketua Pegawai Maklumat, Lim Jit Jee.

Bagaimanapun, Yusli berkata, pengenalan BTS itu tertakluk kepada kejayaan prapelancaran 29 November ini.

Beliau berkata, BTS adalah platform yang luas dan mampu menyokong inisiatif aktiviti dagangan hadapan dan produk inovatif seperti produk pelbagai mata wang.

"Pengenalan BTS membolehkan pelaksanaan akses langsung kepada pasaran (DMA) bagi pasaran derivatif Malaysia, yang akan beroperasi tahun depan," katanya.

Berbeza dengan Score yang tidak mempunyai ketelusan, seperti pada fasa pembukaan (pelabur hanya boleh melihat harga dan membuat pesanan hanya pada dagangan harian bermula pada sembilan pagi), BTS yang mempunyai tiga ciri utama iaitu Harga Pembukaan Secara Teori (TOP), Harga Penutup Secara Teori (TAL) dan lima harga had terbaik untuk sesaham, membolehkan pelabur membuat penilaian dan pengiraan sendiri bagi setiap harga dan pesanan.

Kaedah itu amat berguna apabila adanya penyenaraian baru di Bursa Malaysia.

Dalam memastikan pelaksanaan BTA dapat berjalan lancar, Yusli berkata, Bursa Malaysia bersama peserta pasaran, melaksanakan pelbagai ujian penerimaan pengguna sejak awal tahun bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan sistem baru itu.

"Seperti sebarang sistem atau teknologi baru yang diperkenalkan, terdapat risiko atau masalah yang wujud. Kami mengambil pendekatan sewajarnya bagi memastikan kelancaran perpindahan kepada platform dagangan baru ini dan meminimumkan sebarang gangguan terhadap dagangan," katanya.

- Berita
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url