Batu Burok Beach Resort dilanda banjir


Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan Batu Burok Beach Resort (BBBR) di Batu Buruk, Kuala Terengganu dilanda banjir mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000.

Air mula menenggelami bilik-bilik di tingkat paling bawah resort berkenaan hampir satu meter sejak pukul 3 pagi ini menyebabkan penghuni terpaksa mendaftar keluar dan mencari hotel lain yang lebih selamat.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan tembok resort tersebut runtuh sehingga memecahkan cermin belakang sebuah kenderaan tetamu.

Pengarah Urusan BBBR, Rajemah Sheikh Ahmad berkata, ekoran banjir berkenaan pihaknya kerugian kira-kira RM500,000 berikutan 30 daripada 59 bilik di resort berkenaan dimasuki air.

''Kawasan ini memang sering dinaiki air, tetapi tidak seteruk kejadian yang berlaku hari ini sehingga memasuki bilik tetamu," ujarnya.

Menurutnya, selain bilik, air turut menenggelami kawasan dapur, ruang lobi, ruang makan dan kawasan tempat letak kereta.

Beliau memberitahu, kesemua 59 buah bilik resort itu sudah ditempah beberapa agensi untuk mengadakan seminar, namun disebabkan masalah tersebut sebahagian daripada mereka sudah mendaftar keluar.

''Air merosakkan perabot termasuk tilam, katil dan almari," ujarnya.

Beliau mendakwa banjir berlaku disebabkan sistem perparitan yang tidak teratur di kawasan itu menyebabkan air dari kawasan sekitar melimpah ke resort berkenaan.

Katanya, longkang yang sedang dibina di tepi pantai itu pula sekadar memburukkan lagi keadaan kerana tidak mampu menampung air.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran segera melakukan sesuatu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url