Perbankan Islam mampu tangani krisis kewangan
Beliau berkata, mereka yang melaksanakan sistem kewangan sedia ada berada dalam penafian dan enggan mengakui bahawa sistem mereka salah dan terdedah kepada penyelewengan.
"Mereka cuba untuk membaiki masalah dan menyelamat ekonomi dunia dengan sistem sedia ada, tetapi ia diibarat seperti tidak melakukan apa-apa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Konvensyen Takaful dan Takaful Semula Antarabangsa Keempat, di sini hari ini.
Dr. Mahathir menambah, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang ada, sebarang idea termasuk perbankan Islam tidak harus dipinggirkan.
Katanya, mungkin bukan keseluruhan perbankan Islam harus diketepikan kerana elemen-elemen yang ada boleh menyumbang ke arah menstabilkan sistem perbankan dunia.
Dr. Mahathir juga tidak yakin dengan keupayaan badan seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menubuhkan pasukan petugas peringkat tertinggi untuk mengkaji kemungkinan reformasi sistem kewangan global.
Beliau berkata, pasukan itu dilihat tidak boleh melakukan perubahan kerana terdapat unsur-unsur politik yang terlibat.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram yang juga Penolong Setiausaha Agung bagi Pembangunan Ekonomi dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (DESA), baru-baru ini dilantik sebagai anggota Suruhanjaya PBB bagi reformasi sistem kewangan global, termasuk Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia susulan krisis kewangan dunia semasa.