Dunia iktiraf kemampuan sistem kewangan Islam
Ketua Eksekutif Aseambankers Malaysia Bhd, Rashdan Yusof, berkata negara ekonomi utama global termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun kini mula menimbang untuk menggunakan sistem kewangan Islam.
"Krisis kewangan global yang berlaku kini memaksa sistem kewangan global dirombak semula... Sebahagian besar negara ekonomi utama sudah mula melihat sistem kewangan Islam yang dianggap lebih selamat.
"Baru-baru ini, Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk menilai sistem kewangan Islam secara serius sebagai alternatif kepada konvensional," katanya pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2008 di Kuala Lumpur, semalam.
Selain itu, kata beliau, dua tokoh kewangan dan ekonomi terkemuka negara iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara Malaysia) dan Jomo Kwame Sundaram (Penolong Setiausaha Agung bagi Pembangunan Ekonomi PBB) dilantik menganggotai Pasukan Reformasi Kewangan PBB.
"Kehadiran kedua-dua tokoh itu dijangka dapat memberi pandangan mengenai keberkesanan sistem kewangan Islam di peringkat global," katanya.
Rashdan menambah, peserta industri kewangan Islam patut meraih peluang itu untuk mengembangkan penguasaan pasaran kewangan Islam.
Selain AS, katanya, negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali dan Belgium banyak negara menunjukkan minat dalam produk kewangan Islam khususnya bon Islam Sukuk.
Sementara itu, negara Asia seperti Singapura, Hong Kong, China, Thailand, Brunei dan Jepun juga memilik prospek kukuh bagi pengembangan produk kewangan Islam.
"Aseambankers baru-baru ini dikunjungi beberapa syarikat kewangan Jepun yang berminat untuk menerbitkan produk kewangan Islam.
"Anda jangan terkejut jika ada 'Samurai Sukuk' dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.
Rashdan yakin penyertaan Jepun dalam kewangan Islam tidak hanya merancakkan, malah merangsang pengembangan produk kewangan Islam di peringkat global.
"Kami amat berminat untuk meneroka pasaran kewangan Jepun, bekerjasama dengan bank di negara itu untuk menjana modal, sekali gus mempromosi pasaran kewangan Islam Malaysia," katanya.