Umat Islam di Malaysia tidak boleh tukar agama - Bekas hakim
Datuk Faiza Tamby Chik berkata, berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu.
Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi memutuskan mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.
"Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan' pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir semalam.
Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina.
Faiza kini berkhidmat sebagai felo di Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.
Bekas hakim itu berkata, mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri yang akan membuat keputusan mengenainya.
Beliau berkata, orang bukan Islam di Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing, termasuk mengembangkan agama mereka seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, undang-undang negara melarang mereka daripada cuba menarik penganut Islam menyertai agama mereka.
- Bernama