Gadis 'bergaduh' dengan teman ugut terjun tingkat 10
Seorang gadis berusia 18 tahun yang cuba membunuh diri dengan mengugut terjun dari tingkat 10 sebuah hotel di bandaraya Kuala Terengganu berjaya diselamatkan, apabila mangsa pengsan akibat keletihan selepas lebih dua jam berada di atas bumbung bangunan itu.
Tindakan nekad gadis berasal dari Kuantan yang bekerja di sebuah salun di bandar raya ini cuba membunuh diri dalam kejadian bermula kira-kira jam 1.35 tengah hari itu turut mencuri tumpuan orang ramai untuk melihat adegan cemas itu sehingga menyebabkan kesesakan teruk sepanjang Jalan Pattani, Kuala Terengganu.
Kesesakan teruk itu memaksa polis menutup jalan berkenaan dan menyuraikan lebih 300 orang yang memenuhi jalan itu untuk menyaksikan kejadian yang berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata gadis berkenaan yang dilihat tidak lepas memegang tiang besi sambil mengugut untuk terjun setiap kali cuba dihampiri pasukan penyelamat dikatakan bergaduh dan kecewa dengan sikap teman lelakinya.
Beliau berkata, cubaan mangsa untuk terjun membunuh diri disedari seorang anggota bomba pelatih, Mohd Asyraf Zarin, 22, yang tinggal di kawasan berhampiran sebelum bertindak pantas memaklumkan kepada polis dan bomba yang datang ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.
"Gadis itu cuba dipujuk oleh Mohd Asyraf, seorang pegawai polis, Inspektor D Selva Kumar dan seorang pakar psikiatri, bagaimanapun, dia enggan turun dan meminta untuk bercakap dengan teman lelakinya. Tidak lama kemudian, teman lelakinya yang berjaya dihubungi, tiba dan cuba memujuk.
"Pujukan teman lelakinya yang duduk kira-kira lima meter daripada gadis berkenaan juga tidak berjaya. Mangsa akhirnya pengsan kira-kira jam 3.35 petang kerana keletihan selepas lebih dua jam di atas bumbung bangunan itu dan anggota yang berada di situ bertindak pantas menyambutnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sebaik diselamatkan, pasukan penyelamat dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu memeriksa mangsa sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans dan disahkan berada dalam keadaan stabil.
Zamri berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa naik ke bangunan itu seorang diri kerana kecewa selepas berlaku pertengkaran dengan teman lelakinya dari Cabang Tiga yang bekerja sebagai peniaga ayam, kelmarin.