Mengenal pasti kategori pelabur, nasihat bantu pelaburan

Di sini disenaraikan beberapa kategori pelabur untuk dikongsi bersama dan juga nasihat yang boleh dipertimbangkan dalam membantu memperkukuhkan kedudukan anda sebagai pelabur.

Kategori pendatang baru

Kategori ini merangkumi mereka yang baru kali pertama melabur dan kurang berpengalaman dalam hal ehwal pelaburan. Dalam keghairahan membuat pelaburan, mereka mendapatkan panduan daripada sumber maklumat atau orang yang salah, sekali gus melakukan kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan atau lebih buruk lagi, menjadi mangsa skim pelaburan tidak sah.

Nasihat untuk anda:

Pelajari mengenai selok-belok pelaburan daripada orang yang betul, misalnya daripada mereka yang berlesen. Berhati-hati terhadap peluang pelaburan menjanjikan pulangan tinggi tanpa mempunyai apa-apa risiko dan dapatkan maklumat daripada prospektus atau laporan tahunan sesuatu produk pelaburan terbabit.

Kategori pelabur berwaspada

Pelabur kategori ini akan mengelakkan diri daripada melabur dalam pelaburan berisiko tinggi dan berfikir panjang sebelum melabur, selain mengambil masa untuk memahami sesuatu produk pelaburan tertentu. Mereka tidak mengharapkan pulangan tinggi dan akan melabur dalam produk pelaburan stabil atau menjamin pulangan serta memelihara modal pelaburan mereka.

Nasihat untuk anda:

Kaji dengan teliti produk pelaburan menjanjikan pulangan terjamin. Baca semua maklumat terkandung dalam prospektus. Jangan anggap pelaburan dengan 'pulangan terjamin' atau 'modal terpelihara' tidak mempunyai risiko, selain berhati-hati dengan peluang pelaburan menjanjikan pulangan lumayan tanpa sebarang risiko.

Kategori kaki judi

Pelabur kategori ini pada dasarnya gemar mengambil risiko tinggi serta mudah tertarik kepada 'ramalan panas' serta khabar angin pasaran. Mereka cuba membuat keuntungan seberapa cepat yang boleh dan selalunya membuat keputusan pelaburan berdasarkan naluri atau 'perasaan' dan bukannya maklumat betul.

Nasihat untuk anda:

Pelabur berhak mengambil risiko, tidak kira berapa besar risiko terbabit, tetapi mereka mesti menyedari kesan risiko berkenaan. Ingatlah, walau banyak pun khabar angin dan ramalan diterima, ia tidak boleh menggantikan fakta serta angka dalam membuat keputusan pelaburan.

Kategori pelabur pasif

Mereka percaya selepas membuat sesuatu pelaburan, ejen atau remisier adalah orang bertanggungjawab untuk menjaga pelaburan terbabit atau beranggapan pelaburan itu akan terjaga dengan sendirinya. Pelabur sebegini selalunya jarang atau tidak pernah langsung memantau pelaburan mereka dan juga tidak membaca dokumen berkaitan pelaburan, umpamanya penyata kewangan, laporan tahunan atau nota kontrak.

Nasihat untuk anda:

Sebagai pelabur, anda mesti mengambil berat mengenai pelaburan anda dan jangan biarkan ia tidak dipantau. Jangan anggap semuanya akan berjalan lancar setiap masa. Pemantauan kerap membolehkan anda mengkaji semula pelaburan anda, terutama jika pelaburan itu tidak lagi memenuhi objektif kewangan anda.

Kategori pelabur bijak

Golongan ini melabur berdasarkan maklumat dan bukannya emosi. Mereka menggunakan maklumat daripada pelbagai sumber boleh dipercayai untuk memantau pelaburan dengan teliti, selain nasihat daripada pihak berlesen dan membuat keputusan pelaburan selepas menimbangkan kebaikan dan keburukan. Pelabur bijak seperti ini bersedia menukar strategi pelaburan jika ia sudah tidak konsisten dengan matlamat kewangan.

Nasihat untuk anda:

Jika anda fikir tidak termasuk dalam kategori pelabur bijak dan amat sukar menjadi pelabur bijak, jangan lemah semangat. Sebenarnya ia lebih mudah daripada apa disangka dan hanya memerlukan semangat serta usaha untuk belajar. Ambil langkah pertama dengan membaca laman web Pelabur Malaysia (www.min.com.my) untuk mempelajari selok-belok pelaburan bijak.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url