JAKIM kesan 73 kumpulan sebar ajaran sesat
Katanya, Jakim sudah mengenalpasti ketua kumpulan dan isi kandungan ajaran mereka sama ada besar atau kecil termasuk satu daripadanya yang mengamalkan kaedah menyerupai skim 'Multi-Level Marketing' (MLM).
"Tindakan pemantauan sudah dijalankan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi memastikan kegiatan itu dapat dibanteras.
"Kerajaan juga sedang memperkuatkan unit penguatkuasaan akidah di Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri untuk membanterasnya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah IPPH, Prof Dr Yaakob Che Man.
Mengulas mengenai Ariffin Muhammad atau Ayah Pin, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan mengambil tindakan penguatkuasaan syariah dan sivil terhadap pengamal ajaran sesat itu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan polis.
"Saya sudah dimaklumkan mengenai lokasi Ayah Pin oleh pegawai yang bertanggungjawab dan menghubungi JHEAT untuk mengambil tindakan segera," katanya.
"Saya berterima kasih kepada JHEAT yang sebelum ini mengambil langkah proaktif dalam menangani kes Ayah Pin ini walaupun ramai yang menuduh kononnya JHEAT membiarkan dan melambatkan kes berkenaan tetapi sebenarnya mereka sudah mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
- Berita Harian