Kiraan baru kadar faedah kad kredit sejak Julai 2008
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, perkara itu sudah dimaklumkan oleh pengeluar kad kredit kepada pelanggan mereka sejak Disember tahun lalu lagi.
''Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan garis panduan yang menghendaki pengeluar kad mengamalkan struktur kadar faedah bertingkat bagi kad kredit dengan insentif diberikan kepada pengguna yang mempunyai rekod pembayaran yang baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurutnya, di bawah struktur baru itu, caj kewangan maksimum 18 peratus setahun akan dikurangkan kepada tidak lebih 15 peratus setahun jika pemegang kad kredit mematuhi bayaran minimum dalam tempoh waktu ditetapkan.
''Pemegang kad yang menyelesaikan sekurang-kurangnya jumlah minimum yang perlu dibayar setiap bulan tepat pada waktunya untuk 10 bulan daripada kitaran 12 bulan, caj mereka dikurangkan kepada tidak lebih 17 peratus setahun," tambahnya.
Menurutnya, pengeluar kad kredit juga masih memberi tempoh sekurang-kurangnya 20 hari kepada pemegang kad untuk membuat pembayaran tanpa dikenakan caj kewangan jika mereka menyelesaikan sepenuhnya jumlah hutang daripada penyata sebelumnya.