RM100 juta cukai pintu MBKT masih tertunggak

Kira-kira RM100 juta cukai taksiran atau cukai pintu masih belum dijelaskan oleh penduduk Terengganu kepada majlis-majlis daerah dan perbandaran.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, jumlah tersebut merupakan hasil tunggakan yang masih belum dijelaskan sejak cukai berkenaan mula dikutip berpuluh-puluh tahun lalu.

''Penduduk Terengganu tidak mempunyai kesedaran dalam membayar cukai pintu berbanding negeri lain seperti Selangor dan Lembah Klang di mana 90 peratus penduduknya membayar cukai pintu.

''Sebagai contoh, di Kuala Terengganu hanya 50 peratus penduduk mempunyai kesedaran untuk membayar cukai pintu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kedua Royalti Penggunaan Air Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Hulu Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dijelaskan

Ahmad berkata, daripada jumlah tunggakan berkenaan, kira-kira RM50 juta tidak dijelaskan oleh penduduk Kuala Terengganu manakala di daerah-daerah lain pula masingmasing antara RM8 juta dan RM10 juta.

''Walaupun kadar cukai pintu tidak berubah sejak 1981, penduduk masih gagal untuk membayar cukai yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, jumlah tunggakan yang tinggi tersebut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung beban perbelanjaan kos-kos majlis-majlis daerah berkenaan.

''Cukai-cukai pintu berkenaan diperlukan untuk membayar kos-kos seperti cuci longkang, sapu jalan dan mengutip sampah.

''Di Kemaman, majlis perbandaran perlu memperuntukkan RM10 juta setahun untuk menampung kos-kos berkenaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, majlis-majlis daerah dan perbandaran telah menghantar notis amaran kepada penduduk yang terlibat membayar tunggakan namun mereka tetap tidak menghiraukannya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url