Top Ad 728x90

Menanti keazaman politik Anwar di Melawati

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menganjurkan kongres tahunannya, hujung minggu ini, di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam. Ia dilihat perhimpunan terbesar dan paling meriah selepas parti yang diterajui Anwar Ibrahim itu mencapai kejayaan gemilang dalam pilihan raya umum ke-12, Mac lalu.

Kegagalan membentuk kerajaan persekutuan pada 16 September tentunya tidak menghalang kongres berkenaan mendapat perhatian istimewa pemerhati politik, tempatan dan antarabangsa, sebaliknya mengundang rasa ingin tahu yang mendalam untuk mendekati sosok tubuh parti penuh potensi ini. Bagaimanapun Anwar diharap menghuraikan punca Pakatan gagal mengambil alih kuasa, terutama mengapa tarikh 16 September itu dipilih sebagai target.

Walaupun Pakatan Rakyat belum dapat dibentuk secara formal dan ikatan tiga parti komponennya agak longgar, namun pengaruh KeADILan - terutama dengan kehadiran nyata Anwar - dalam memperkukuhkan kewibawaan saingan terdekat BN itu, sekali gus menyemai pembentukan sistem dua parti, dilihat cukup besar sekali. Majoriti rakyat pula jelas menggantung harapan besar agar perubahan menyeluruh dapat dilakukan apabila Pakatan berkuasa di peringkat persekutuan nanti.

Amaran keras Mahathir

Sebarang masalah yang mengganggu keupayaan KeADILan untuk berkembang akan membantutkan pertumbuhan Pakatan Rakyat. Manakala kelancarannya menghadapi pelbagai mehnah boleh mempercepatkan lagi proses peralihan kuasa yang sebenarnya, dalam pilihan raya ke-13 nanti, seperti selalu diperingatkan Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin Umno. Terbaru, 25 November lalu, bekas Perdana Menteri itu sering memberi amaran keras: "Hari ini bukan Presiden Umno sahaja yang dianggap tidak layak, tetapi seluruh kepimpinan Umno tidak disukai dan tidak dianggap layak memimpin negara kerana pencalonan mereka adalah hasil sogokan (rasuah). Memilih mereka bermakna memilih perasuah untuk mendirikan Kerajaan. Masyarakat yang mana yang mahu terima Kerajaan perasuah? Ramalan saya ialah Umno akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13. Mendapat sokongan daripada parti (melalui rasuah) tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum."

Sebagai parti muda dan masih "mentah usianya", dimulai dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya 1999, yang berazam membudayakan "politik baru", merentasi batas kaum dan agama, KeADILan boleh dianggap telah mencapai satu tahap pencapaian yang agak luar biasa. Bukan mudah untuk sebuah parti baru, yang didorong penubuhannya oleh satu peristiwa di luar jangka pemecatan Anwar pada September 1998 (kerap dihujahkan bahawa parti berasaskan "kepentingan" tokoh tertentu tidak bertahan lama), bukan sekadar berjaya melepasi ujian tiga kali pilihan raya umum, malah ketuanya dianggap lebih berkelayakan menerajui kerajaan berbanding perdana menteri sedia ada.

Limpahan sokongan tidak terduga terhadapnya, sehingga meningkat 30 kali ganda pada 2008 berbanding penguasaan hanya satu kerusi Parlimen pada 2004, ekoran kegagalan Abdullah Ahmad Badawi menunaikan janji manis beliau, wajar dimanfaatkan sebaiknya agar KeADILan kelihatan lebih dekat, jujur dan mesra dengan rakyat, tanpa melupakan kewajipan untuk memperkasakan organisasi parti. Lebih manis apabila Anwar sendiri menang besar dalam pilihan raya kecil 26 Ogos 2008, dengan majoriti 15,672 undi berbanding majoriti yang diperolehi sebelumnnya oleh Dr Wan Azizah wan Ismail, 13,388. Anwar kemudiannya dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ramai mengharapkan persidangan tahunan ini, di sebuah negeri terkaya di Malaysia, yang kini diterajui KeADILan bersama PAS dan DAP, mampu merangsang semangat dan komitmen ahli serta kepimpinannya bagi meletakkan parti berkenaan pada landasan yang kukuh, menuju tepat sasaran yang digariskan, dalam tempoh munasabah. Sebagai parti yang menampung begitu banyak kepelbagaian, KeADILan terpaksa mengharungi cabaran besar, antaranya, menipiskan sentimen perkauman yang rupanya tidak pernah reda walaupun selepas lebih 50 tahun negara merdeka.

Selangor perlu menunjuk jalan

Pengalaman lapan bulan mentadbir Selangor sudah cukup untuk melakukan bedah-siasat awal bagi merongkai kekusutan jika ada, apatah lagi pelbagai "aksi dan reaksi menarik" ditonjolkan di negeri itu, seperti digembar-gemburkan media. Selangor sebenarnya mampu menjadi negara contoh kepada negeri-negeri lain dan bukti keupayaan Pakatan merealisasikan segala janji dalam manfestonya, terutama dalam aspek negara berkebajikan.

Retreat Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang, yang diadakan sebanyak dua kali, pada 19 dan 25 November lalu, adalah inisiatif yang perlu dilanjutkan, khususnya bagi melakukan usaha penambahbaikan terhadap pemerintahan lima negeri dan keberkesanan pembangkang di Parlimen, selain mengeratkan kerjasama dan persefahaman ketiga-tiga parti pada setiap tahap kepimpinan. Sebarang konflik berbangkit wajar diatasi segera. Media di bawah kawalan Umno-BN sememangnya diketahui berperanan sebagai tukang adu-domba dan berusaha mengelirukan penyokong ketiga-tiga parti jika timbul isu-isu dalaman yang sensasi. Jangan perkecilkan keupayaan media berkenaan walaupun mereka gagal berperanan dalam kempen pilihan raya lalu.

Sejak awal penubuhannya, KeADILan dari satu sudut, dianggap parti yang kurang mendapat dokongan akar umbi, tidak sepertimana PAS dan Umno, yang terzahir melalui gerak kerja massa di peringkat bahagian dan cawangan. Ya, ia memang popular, namun bagai disokong dari jauh tetapi kekurangan penggeraknya. Malah, ada pihak mendakwa, walaupun selepas menang besar Mac lalu, proses perkaderan parti itu, bermula di peringkat bawahan, masih belum dapat diaktifkan dengan baik. Kepada pengkritik, ideologinya mungkin masih samar dan belum berakar, manakala disiplin sebahagian ahlinya boleh dipersoalkan.

Mungkin tanggapan seperti itu tidak benar, namun keraguan berkenaan perlu diperjelaskan, termasuk tuduhan bahawa KeADILan terlalu bergantung dengan ketokohan Anwar, sehingga sukar dibayangkan masa depannya tanpa bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Dalam tradisi politik Malaysia, parti perlu kuat dan berpengaruh, antaranya ditandai dengan rangkaian cawangan yang mantap dan sikap proaktif aktivis di setiap pelosok negara, di samping ketokohan pemimpin utama yang menyerlah, dan kesediaan untuk membumikan agenda reformasi.

Medan paling sesuai berdebat

Kongres hujung minggu ini adalah gelanggang paling sesuai untuk perwakilan berbahas dan berdebat, termasuk menimbulkan hal-hal agak sensitif (yang selama ini mungkin disapu ke bawah karpet) tetapi mendesak untuk diselesaikan, asalkan ia boleh memperkukuhkan parti menjalin kerjasama lebih erat sesama Pakatan.

Seorang profesor sains politik menekankan agar Anwar memperincikan perkara-perkara berkaitan konsep multi-racial yang ingin diketengahkan Pakatan Rakyat: "Ia termasuklah bagaimana KeADILan merangka hala tuju bagi membina Malaysia baru serta menguatkan hubungan sesama rakan dalam Pakatan. Bahkan mereka perlu turut berperanan bagi membangunkan kebajikan ahli KeADILan serta sumbangan yang telah diberikan khususnya terhadap negeri yang diterajui parti itu."

Walau apapun, apa yang penting ujar profesor berkenaan, KeADILan perlu fokus untuk mengurus selia tugas dan tanggungjawab yang diberikan buat masa ini agar ia tidak menjadi sia-sia. "Fokus pada tanggungjawab mentadbir Selangor sebagai negeri yang kaya dengan sumber pendapatan kerana kita bimbang mereka akan jadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran," katanya. KeADILan, tambahnya, perlu mencari dan membentuk formula pembentukan sebuah kerajaan yang baik selepas meneliti kelemahan kerajaan Umno-BN yang memerintah negara ini sejak 51 tahun lalu.

KeADILan lahir dalam realiti berbeza, seiring kelantangan tuntutan reformasi yang belum tertunai, tegak dengan citra sebagai parti inklusif. Justeru, elemen "politik baru" seperti keterbukaan dan ketelusan harus dibiarkan membiak subur, apatah lagi generasi muda amat mengharapkan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam parti terlebih dahulu.

Rumusan dua pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Nadzri Mohamed Noor dan Ghazali Mayudin, dalam kertas kerja mereka, Pilihan Raya Umum ke-12: Gelombang Politik Baru Kedua, Pendemokrasian dan Perubahan Fundamental? wajar diberi perhatian oleh semua aktivis Pakatan:

"Dengan menguasai lima negeri, Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan untuk membuktikan parti pelbagai ideologi dan pemimpin berbilang etnik boleh bekerjasama untuk menjalankan pemerintahan dengan baik. Kejayaan atau kegagalan itu boleh menjadi faktor yang penting sama ada "gelombang politik baru kedua" ini berhenti buat sementara waktu untuk menantikan "gelombang parti baru ketiga" pada masa depan atau gelombang ini akan terus melanda seluruh negara sehingga menenggelamkan "politik lama" yang berasaskan sentimen etnik dan agama."

- Harakah

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90