Sirah dan syariat haji
Dari sudut sejarah pula, haji merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan semenjak manusia diutuskan menjadi khalifah di muka bumi ini. Menurut satu riwayat, nabi Adam a.s. merupakan individu pertama yang mengerjakan ibadah haji di Baitullah.
Selepas melangkaui satu jangka masa yang sungguh panjang, ibadah haji sekali lagi telah disyariatkan pada zaman nabi Ibrahim a.s. dan telah menjadi satu syiar agung serta ikutan bagi para nabi a.s. yang diutuskan selepas Baginda.
‘Urwah ibn al-Zubir berkata: “Telah aku terima satu perkhabaran bahawa nabi Adam dan Nuh a.s. telah pergi menunaikan ibadah haji, manakala nabi Hud dan Saleh a.s. tiada berkesempatan mengerjakannya kerana kesibukan mentadbir kaum mereka. Kemudian Allah telah mengutus nabi Ibrahim a.s. di mana beliau telah pergi menunaikan haji serta diajar oleh Allah berkaitan tatacara melaksanakan manasik yakni kerja-kerja haji. Allah tidak mengutus nabi-nabi selepas beliau melainkan mereka itu turut menunaikan ibadah haji di Baitullah”. (Hashiah ibn Hajar al-Haitami, hlm 8)
Berdasarkan catatan sejarah yang dinukilkan secara ringkas ini, dapatlah kita fahami bahawa ibadah haji merupakan syariat yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW sebagai menyambung dan memperbaharui ajaran nabi Ibrahim a.s.
Namun, sebelum membicarakan tentang sejarah ibadah haji Rasulullah yang dikenali dengan Hajjatul Wada’, terlebih dahulu diceritakan tentang ibadah umrah yang dilaksanakan oleh Baginda. Ini kerana, ibadah haji dan umrah merupakan kewajipan yang saling berkait antara satu sama lain.
Firman Allah SWT: Dan sempurnakanlah ibadah haji serta umrah kerana Allah. (al-Baqarah: 196) Rasulullah SAW pula bersabda: “Mengerjakan haji dan umrah merupakan dua perkara fardu (wajib), bolehlah engkau kerjakan yang mana satu terlebih dahulu (sama ada haji atau umrah)”. (riwayat al-Dailami & al-Hakim)
Para ulama dan sejarawan sependapat mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah pergi mengerjakan umrah sebanyak empat kali. Dalam sebuah hadis, Hammam r.a. berkata: Nabi SAW mengerjakan umrah sebanyak empat kali, semuanya dilakukan dalam bulan Zulkaedah, kecuali umrah yang baginda SAW kerjakan berserta dengan hajinya. Umrah-umrah tersebut ialah: umrah dari Hudaibiyyah, umrah pada tahun berikutnya (umrah al-Qadha’), umrah dari Ja’ranah dan umrah yang dikerjakan bersama dengan haji baginda SAW. (riwayat al-Bukhari)
Umrah Hudaibiah:
Rasulullah SAW telah berangkat dari Madinah pada awal bulan Zulkaedah bersamaan hari Isnin, 6H. Baginda diiringi oleh isterinya, Ummu Salamah r.a. dan 1,400 orang sahabat r.a. yang siap bersenjata.
Selepas berihram di Zul Hulaifah, rombongan baginda bergerak menuju ke Mekah. Apabila hampir tiba, Rasulullah dimaklumkan akan keengganan kaum Quraisy membenarkan rombongan-Nya memasuki Mekah untuk menunaikan umrah.
Justeru, bagi menghindari sengketa, Rasulullah SAW telah menukar arah perjalanan lalu menuju ke Hudaibiah yang terletak 24 kilometer (km) dari Masjidil Haram.
Rasulullah mengutus Uthman ibn Affan r.a. untuk berunding dengan Quraisy bagi mendapatkan keizinan tetapi beliau telah ditahan. Keadaan ini menjurus kepada termeterainya Baiatul Ridhwan antara Baginda dan para sahabat r.a. untuk berjuang menentang Quraisy hingga ke titisan terakhir.
Apabila ia diketahui oleh Quraisy, mereka telah menghantar utusan demi utusan dan akhirnya satu perjanjian damai telah dicapai yang dikenali sebagai Sulh al-Hudaibiah. Antara kandungannya ialah kaum muslimin hanya dibenarkan menunaikan umrah pada tahun berikutnya.
Oleh kerana tiada berkesempatan mengerjakan umrah, Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. telah melakukan ihsar bagi membebaskan diri dari ihram dan larangannya dengan menyembelih kambing dan bergunting.
Setelah berada di Hudaibiah selama 20 hari, Baginda dan rombongan pulang ke Madinah dan tiba pada pertengahan Zulhijjah, 6H.
Umrah al-Qada:
Perjalanan bermula pada bulan Zulkaedah, 7H. Dengan iringan 2,000 orang sahabat r.a. yang lengkap bersenjata dan wanita serta kanak-kanak, rombongan baginda telah berhenti di Zul Hulaifah untuk berihram sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah.
Apabila tiba di Ya’juj, segala kelengkapan peperangan disimpan di situ dan dijaga rapi oleh 200 orang sahabat r.a. Rasulullah SAW dan rombongan lalu meneruskan perjalanan menuju ke Masjidil Haram dengan sekadar membawa pedang yang bersarung dan disisip kemas di badan sambil bertalbiyah dengan penuh semangat.
Semasa mengerjakan tawaf pula, Rasulullah dan sahabat melakukan al-Ramal (berlari-lari anak) pada tiga pusingan pertama selain berittiba’ (menampakkan bahu kanan) pada keseluruhan pusingan. Selepas itu, baginda SAW mengerjakan saie, menyembelih kambing sebagai al-Hadyu di Bukit Marwah sebelum bercukur.
Selesai mengerjakan umrah, Rasulullah telah tinggal di Mekah selama tiga malam di mana Baginda telah berkahwin dengan Maimunah binti al-Harith r.a.
Namun, atas keengganan Quraisy membenarkan baginda tinggal lebih lama, maka pada pagi hari yang keempat, baginda dan rombongan bertolak menuju ke Sarifa. Di sinilah Rasulullah berkesempatan meraikan perkahwinan baginda bersama Maimunah r.a. dan memulakan kehidupan sebagai suami isteri.
Akhirnya, Rasulullah s.a.w. dan rombongan-Nya meneruskan perjalanan pulang ke Madinah dan selamat tiba pada bulan Zulhijjah, 7H.
Umrah al-Ja’ranah:
Umrah dari al-Ja’ranah yang jauhnya 24 km dari Masjidil Haram telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW pada bulan Zulkaedah, 8H iaitu selepas baginda selesai membahagikan harta rampasan peperangan Hunain kepada tentera-tenteranya pada sebelah siang.
Hadis yang diriwayatkan oleh Muharrish al-Kalbi r.a. menceritakan bagaimana Rasulullah telah pergi menunaikan umrah dari Ja'ranah pada suatu malam dan segera kembali.
Tidak lama selepas itu Baginda berangkat pulang ke Madinah dan selamat tiba pada enam hari terakhir daripada bulan Zulkaedah. Sebenarnya, perjalanan umrah Rasulullah dari Ja'ranah serta kaifiatnya sukar diperolehi secara terperinci di dalam kitab-kitab sejarah.
Malah, ramai dalam kalangan para sahabat r.a. yang tidak mengetahui bahawa Rasulullah SAW. telah berkesempatan menunaikan umrah pada tahun tersebut.