soho.net.my dijangka sumbang RM5j kepada Cybernote

Pengendali laman perniagaan dalam talian, Cybernote Sdn. Bhd. (Cybernote) menjangka portal perniagaan dari rumah (soho), soho.net.my yang dilancarkan hari ini akan menyumbang perolehan tahunan RM5 juta kepada syarikat.

Pengerusinya, Zaharah Sulaiman berkata, pendapatan itu akan diperoleh melalui segmen pengiklanan, kursus latihan dan yuran pendaftaran ahli.

Beliau berkata, portal itu dijangka mendapat sambutan yang memberangsangkan memandangkan ia merupakan salah satu kaedah peniaga memasarkan produk dan kemahiran masing-masing melalui Internet.

Menurutnya, peniaga yang mendaftar dengan pihaknya hanya dikenakan yuran tahunan serendah RM150 hingga RM300 manakala untuk kategori pendaftaran paling asas, tiada bayaran dikenakan.

"Ia merupakan kaedah yang paling murah untuk para peniaga memasarkan produk masing-masing kerana mereka tidak perlu menyewa atau membeli pejabat dan kos perbelanjaan harian juga dapat dijimatkan.

"Ia merupakan satu budaya baru di Malaysia, namun kewujudan kaedah ini sudah menjangkau 50 tahun yang lalu selepas berkembang dari tiga negara besar iaitu Kanada, Amerika Syarikat dan China,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian portal perniagaan soho.net.my di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr. Raslan Ahmad.

Ditanya mengenai pelaburan syarikat itu, Zaharah berkata, Cybernote mendapat geran daripada MOSTI RM300,000 untuk mengusahakan kandungan portal berkenaan manakala jumlah pelaburan keseluruhan syarikat mencecah RM5 juta.

Sehingga kini, syarikat tersebut sudah membelanjakan RM500,000 bagi menyiapkan portal berkenaan yang pada permulaannya dibuat dalam bahasa Inggeris.

Zaharah menambah, pihaknya sedang merangka untuk mewujudkan portal berkenaan dalam Bahasa Malaysia.

Pihaknya turut menyasarkan untuk menarik keahlian seramai 10,000 dalam tempoh dua bulan pertama selepas pelancarannya manakala 70,000 ahli lagi disasar untuk enam bulan kemudian, katanya.

Katanya, sehingga kini, jumlah peniaga kecil dianggarkan lebih sejuta orang manakala yang berdaftar dengan pendaftar perniagaan (ROB) adalah seramai 700,000.

Beliau yakin portal berkenaan menjadi platform yang baik kepada para pengusaha berkenaan untuk memperkembangkan perniagaan masing-masing memandangkan rangkaiannya akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa selepas enam bulan pertama.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url