Ahmad Fuad Datuk Bandar baru Kuala Lumpur

Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Fuad Ismail dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kesembilan mulai 14 Disember ini hingga 31 Disember 2010.

Beliau menggantikan Datuk Ab. Hakim Borhan yang tamat tempoh perkhidmatannya esok (13 Disember).

Pelantikan itu, yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sidek berkata, Ahmad Fuad mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran kerajaan tempatan dan pembangunan sumber manusia sepanjang 32 tahun perkhidmatannya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Ini termasuk sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mulai 12 Januari 2006, tujuh tahun sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta sebagai Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selama hampir tiga tahun.

Ahmad Fuad, 55, berkelulusan Sarjana Pentadbiran dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari University of Denver, Amerika Syarikat; dan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari Universiti Malaya. Beliau memasuki Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Oktober 1976.

"Dengan pengalaman dan prestasi cemerlang beliau dalam bidang pentadbiran kerajaan tempatan, adalah diyakini Ahmad Fuad akan dapat memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadi sebuah pentadbiran yang lebih responsif, prihatin, cekap serta 'Mesra Rakyat', selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan sistem penyampaian perkhidmatan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai 'Bandaraya Bertaraf Dunia'," kata Mohd. Sidek.

"Pada masa yang sama, bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan perkhidmatan awam Malaysia serta seluruh warga kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Ab. Hakim Borhan di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh dua tahun beliau memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url