Kelantan anjur sambutan tahun baru
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sambutan tahun baru yang akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV itu akan diisi dengan hiburan berbentuk keagamaan seiring dengan temanya 'Hijrah Dirai, Masihi Dinanti'.
Beliau berkata, ia diadakan bagi menunjukkan kepada remaja bahawa Islam juga mempunyai cara untuk berhibur.
"Pada malam itu kita akan mengadakan selawat secara beramai-ramai dan dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).
"Kita juga akan mengadakan countdown namun sejurus selepas itu, laungan azan akan berkumandang diselang-seli dengan pertunjukan bunga api menandakan masuknya tahun baru,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain itu, sambutan tersebut juga akan diserikan dengan kehadiran artis seperti kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Akhil Haiyy, Sabri Yunus dan Hafiz Hamidun (bekas anggota kumpulan nasyid UNIC).
Takiyuddin berkata, ia satu pendedahan baru kepada golongan remaja supaya dapat menghindarkan diri daripada gejala-gejala yang tidak sihat ketika menyambut tahun baru.
''Kalau tidak buat begini, pasti mereka buat juga, takut ada sampai jadi macam parti liar dan kita berharap mereka hadir beramai-ramai ke stadium nanti," katanya.
Tambahnya, penerapan unsur-unsur pendidikan dan hiburan alternatif akan berupaya mengingatkan masyarakat untuk berhibur ke arah kebaikan.