237 Bendera Parti Diturunkan Kerana Ganggu Lalulintas (PRK K.Terengganu)

Sebanyak 237 bendera parti politik diturunkan sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bermula Selasa lepas sehingga semalam, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata semasa pasukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemantauan mengenai pemasangan poster di sekitar Kuala Terengganu semalam, mereka telah menurunkan sejumlah 107 bendera yang dipasang oleh pekerja parti.

Daripada jumlah itu, tiga adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), 33 bendera-bendera Umno/Barisan Nasional (BN) dan 71 bendera PAS, katanya.

Sebelum ini, sebanyak 130 bendera telah diturunkan, menjadikan sebanyak 237 bendera telah diturunkan sepanjang tempoh berkempen, katanya dalam sidang akhbar di sini, Sabtu.

"Antara sebab-sebab bendera ini diturunkan ialah kerana ia didapati mengganggu dan menghalang lalu lintas serta memasang bendera di tempat-tempat yang dilarang atau kepunyaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan sebagainya," katanya.

Mohd Shukri berkata sebanyak 10 kain rentang juga telah diturunkan dalam tempoh itu. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kain rentang parti yang terlibat.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen itu, sebanyak 32 permit ceramah telah diluluskan iaitu 22 permit dikeluarkan kepada parti PAS manakala 10 kepada BN. Sebanyak lapan permohonan permit dari PKR pula ditolak.

"Mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana parti atau calon yang tidak bertanding dalam pilihan raya, ia tidak dibenarkan sama sekali untuk menaikkan bendera atau mengadakan kegiatan berkempen," katanya.

Mohd Shukri berkata kehadiran polis yang ramai tidak bermakna mengganggu atau menimbulkan ketidakselesaan kepada parti yang bertanding pada pilihan raya itu.

"Apa yang kita lihat ialah kita bertugas dalam konteks menentukan keselamatan dan juga kententeraman awam terjamin. Yang penting kegiatan-kegiatan dalam pilihan raya ini dapat berjalan dengan aman, selamat dan lancar.

"Tidak perlu anggap kehadiran polis itu untuk tujuan yang lain, kerana matlamat tugas polis untuk menentukan keselamatan dan ketenteraman," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url