Bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Azmi meninggal dunia

Bekas Hakim Mahkamah Agung, Allahyarham Tan Sri Azmi Kamaruddin sebelum menghembuskan nafas terakhir malam tadi, sempat memaklumkan betapa bersyukurnya beliau atas tindakan kerajaan membersihkan namanya daripada kes krisis kehakiman 1988.

Adik Allahyarham, Datuk Suhaimi Kamaruddin berkata, tiga hari lepas, abangnya memberitahu beliau, "saya bersyukur kerana nama saya telah dibersihkan sebelum saya memejamkan mata dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat membersihkan nama saya."

Azmi, 75, meluahkan perkara itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi kerana sakit tua di Hospital Ampang.

Beliau dikebumikan pada 12.30 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Dusun Tua dekat Hulu Langat, iaitu kampung halaman keluarganya.

Azmi adalah antara enam bekas hakim yang dipecat ketika krisis kehakiman 1988. Selain beliau ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan bekas hakim kanan, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bayaran ex-gratia kepada keenam-enam bekas hakim itu.

Suhaimi, yang merupakan bekas timbalan menteri pada 1980an dan bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, abangnya turut melahirkan harapan agar Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi dapat mengembalikan kegemilangan sistem perundangan negara seperti di masa dahulu.

"Allahyarham telah melihat adanya 'bibit-bibit perubahan ke arah itu' dan berharap Zaki dapat mengikut jejak langkah bapanya, bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Azmi Mohamed yang amat dikagumi oleh abang saya, dalam melaksanakan tugas mendaulatkan sistem kehakiman negara.

"Amanat arwah itu telah saya sampaikan kepada Zaki semasa Zaki melawat arwah pagi tadi dan Zaki berjanji menunaikan pesanan arwah," katanya ketika berucap bagi pihak keluarga selepas solat jenazah di rumah Allahyarham di Jalan Ampang di sini hari ini.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url