Kempen Beli barangan Malaysia
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kempen meliputi seluruh negara itu akan berlangsung selama setahun bagi memastikan ia menjadi amalan berterusan rakyat pada masa depan.
Selain itu, kata beliau, kempen berkenaan juga akan memberi peluang menjana pendapatan kepada pengeluar tempatan serta menyediakan pekerjaan kepada rakyat.
''Kempen sebegini akan mengembalikan suasana di mana rakyat menumpukan untuk membeli barangan tempatan dan tidak lagi bergantung kepada pasaran eksport.
''Ia sekali gus membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara kerana meningkatnya permintaan domestik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru kepada para pegawai dan kakitangan KPDNHEP di sini hari ini.
Shahrir bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada kempen tersebut melibatkan usaha memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel berikutan serangan rejim Zionis ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu.
Menurut beliau, kempen berkenaan melibatkan pelbagai kementerian kerana promosi yang dijalankan turut meliputi ekspo dan pameran yang dianjurkan kementerian masing-masing.
Beliau juga berharap kempen sedemikian akan menjadikan pengeluar tempatan lebih berusaha untuk memperkenalkan jenama bernilai pada harga rendah.
- Utusan