Blog Mahathir untungkan Pakatan Rakyat (PRK Kuala Terengganu)

Sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu, musuh politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencatatkan dalam blognya mengenai apa yang dianggap sebagai punca kekalahan Barisan Nasional.

Terjahannya jelas; yang bersalah adalah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan budaya bongkak dalam Umno.

“Umno perlu ingat undi daripada ahli-ahli setianya sahaja tidak mencukupi untuk mendapat kemenangan. Untuk menang calon Umno perlu undi orang bukan ahli parti dan orang Cina dan India.

“Dalam keadaan sekarang, dalam keadaan Umno dan Kerajaan dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah tidak mungkin orang bukan daripada parti Umno dan orang Cina dan India akan beri kemenangan kepada calon Umno atau Barisan Nasional. Bahkan ahli-ahli Umno yang kecewa dengan pimpinan Dato Seri Abdullah pun tidak akan undi Umno dan Barisan Nasional.

“Dengarlah, lihatlah apa yang dipertunjukkan oleh pengundi Permatang Pauh. Mereka tidak undi untuk Datuk Seri Anwar dan PKR. Mereka undi untuk mengalahkankan Barisan Nasional dan Umno.”

Kini BN sekali lagi berdepan dengan pilihan raya kecil. Kali ini PRK Kuala Terengganu yang memang tidak akan mencetuskan perubahan politik negara tetapi mencabar maruah dan wibawa BN dan Pakatan Rakyat.

Calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Salleh berentap dengan calon Pas Abdul Wahid Endut yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Calon bebas adalah Azharudin Mamat @ Adam.

Sekali lagi Dr Mahathir mencatatkan rasa hatinya. Dalam catatannya pada 8 Januari lalu, bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa Pas bukan parti yang berprinsip dan tidak ikhlas memperjuangkan Islam.

Kecaman beliau terhadap Pas diimbangkan dengan hentaman terhadap Umno-BN. "Umno pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon Umno tidak memperdulikan sentimen rakyat. Dan calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang.

“Dalam pilihan raya kecil ini pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema. Pas pun bukan pilihan yang baik, Umno pun bukan pilihan yang baik. Telan mati Mak, luah mati Pak. Mungkin calon bebas akan dapat undi yang lebih dari sepatutnya.”

Abdullah menjawab kritikan Dr Mahathir: “Yang peliknya, yang lebih-lebih mengata adalah orang kita, bukan daripada orang pembangkang. Kita perlu pertahankan calon kita.”

Ketua kempen BN di Terengganu Datuk Seri Najib Razak juga mempertahankan bossnya dan calon parti. “Ada orang kata Wan Farid orang Pak Lah. Dia tidak ada orang siapa-siapa. Sebab Perdana Menteri dan saya bersama-sama memilih beliau.

“Tak kan kita hendak buang anak tempatan dan Timbalan Menteri. Beliau juga ada kelulusan LLB ,” katanya merujuk kepada Wan Ahmad Farid yang baru-baru ini meletak jawatan sebagai Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk bertanding dalam PRK Kuala Terengganu.

Untuk menganggap suara Dr Mahathir sudah dikunci adalah jenaka yang tidak begitu lucu. Kemungkinan besar kritikan yang lebih tajam dan bisa dari tokoh Umno yang sudah pun keluar parti tahun lalu akan dicatatkan lagi dalam blognya yang begitu popular di alam maya.

Malah, akhir tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu juga mengemukakan pandangannya terhadap Umno yang dituduhnya belum sedar akan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu.

Dalam tulisannya pada 14 November lalu, beliau mencatatkan: “Jika Umno pimpinan Datuk Seri Najib ingin diterima dan disokong oleh rakyat sebagai pengundi, ingin memperolehi kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 13 maka rasuah dalam parti hendaklah dihapuskan. Usaha ini bukanlah mudah tetapi suka atau tidak suka Najib dan pasukannya perlu berusaha sedaya upaya.

“Jika tidak, pengundi akan undi siapa sahaja yang menyogok wang kepada mereka dan ini termasuk parti lawan. Umno dan BN mungkin tidak akan dapat memerintah negara ini lagi. Kita sekarang sedang diberi ‘preview’ jenis pemerintahan yang akan didirikan oleh parti-parti lawan.”

Mungkin Najib sedar masalah yang dibangkitkan itu tetapi persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin Umno lain turut berkongsi hiba masalah parti?

Agak menyedihkan bagi Umno apabila Najib, sewaktu memberi pep talk kepada jentera parti di Kuala Terengganu baru-baru ini terpaksa mengajar semula kursus asas kempen politik, yang antaranya Timbalan Presiden Umno itu dipetik sebagai berkata:

“Kalau salam, tengok muka. Sebab itu saya ingatkan calon kita supaya kalau bersalam bukan hanya di depan pintu, tetapi kalau ada orang dalam rumah dan di dapur, salam semua. Biar pun dia kena salam sehingga 200,000 orang, asalkan kita menang. Ini bukan adab orang bandar, orang elit tetapi adab orang kampung. Itu cara kita berkempen.

“Jangan berlagak naik kereta mewah dan jangan berlebihan. Pegang kepada satu prinsip bahawa kita hamba kepada rakyat, itulah anak kunci kepada kejayaan BN. Saya minta pemimpin yang turun padang supaya mesra rakyat”.

Dr Mahathir dikatakan banyak memberi saham kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu, dan sekali lagi dalam PRK Permatang Pauh. Nadanya kali ini turut menuju ke arah yang sama.

Jika orang Umno yang kritikal terhadap kepimpinan parti masa kini tetap tidak mahu mengundi Pas, hujah Dr Mahathir mungkin menjadi alasan mereka untuk menjunamkan undi BN dalam PRK kali ini.

Sehingga Najib terpaksa mengulangi mentera bahawa “Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh dan kita tak kan benarkan sama sekali sejarah itu berulang lagi di sini.”

Masalahnya, jika hujah Dr Mahathir bertubi-tubi mengetuk benak ahli-ahli Umno serta pengundi atas pagar di Kuala Terengganu, bayangan Permatang Pauh akan terus menghantui bakal Perdana Menteri itu sepanjang kempen hingga hari pengundian pada 17 Jan ini.

Malah, lebih memeningkan Najib adalah dakwaan Dr Mahathir bahawa “setiap orang akan melihatnya (Wan Ahmad Farid) sebagai hanya seorang proksi; seseorang yang boleh dipergunakan kemudian jika Najib menjadi Perdana Menteri”.

Di negeri di mana pemimpin Terengganu bukan pilihan Abdullah, dan kemelut perpecahan di antara kumpulan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh belum selesai sejak tahun lalu, dan di mana Wan Ahmad Farid dituduh sebagai “elit” yang tidak mesra rakyat, ia adalah beban besar buat Najib dan jentera pilihan raya Umno untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Malah, apabila Dr Mahathir menyatakan PRK ini “sepatutnya tidak dianggap penting. Samada Barisan Nasional menang atau kalah kerajaan Terengganu tak akan berubah. Pada pandangan saya Pas atau Umno pada waktu ini sama sahaja”, ia seolah-olah memberi isyarat kepada pengundi Terengganu, khususnya dari kalangan penyokong BN, untuk tidak keluar mengundi atau lebih dari itu, bebas untuk mengundi Pas.

- Malaysian Insider
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url