BN kena ada wow factor

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua ahli parti itu memikirkan bentuk perubahan yang perlu dilakukan bagi menarik semula keyakinan rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap parti itu.

Tegas beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan daya penarik baru atau wow factor dari segi pengisiannya untuk mendekati rakyat.

''Istilah saya BN baru, tidak boleh BN lama. Imej baru, format baru yang lebih menyakinkan, kita harus fikirkan.

''Apa benda yang kita buat, orang akan kata wow!, ada petanda baik, wow factor, ada daya penarik yang baru, bukan kulit yang baru tetapi pengisian dan pendekatan yang boleh diterima pelbagai kaum, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Indera Mahkota, Allahyarham Mohd. Zahar Mohd. Sohor yang meninggal dunia Jumaat lalu akibat denggi, di Kampung Balok, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai situasi UMNO ketika ini yang menerima pelbagai cadangan perubahan berikutan dakwaan sesetengah pihak yang melihat UMNO semakin goyah selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-12 dan dua pilihan raya kecil sebelum ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, UMNO dan BN perlu melakukan penambahbaikan yang selaras dengan perkembangan semasa.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan parti dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan kepada bakal Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Saya tidak mencadangkannya secara terbuka. Apa yang pasti kita akan bincangkan dengan pucuk pimpinan MT dan bakal Presiden parti (Najib) apabila mengambilalih nanti.

''Mungkin ada idea-ideanya dari segi struktur parti, memilih pemimpin, proses pemilihan, program amal kebajikan dan pendekatan baru lain yang harus difikirkan yang boleh diterima baik oleh rakyat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang penting semua pihak perlu yakin dengan perjuangan UMNO itu sendiri.

''Kita kuatkan semangat juang parti. Walaupun kita kalah di beberapa tempat dalam pilihan raya umum dan kecil, tidak seharusnya kita berasa kita dalam saf yang salah. Kalau ada kelemahan, kita perlu tangani," tegasnya.

Beliau menambah, imej UMNO tidak seburuk digambarkan sebaliknya perjuangan parti itu masih berlandaskan kepada prinsip membela bangsa, agama dan negara.

''Mungkin kerana penyebaran dalam media sebegitu rupa, berita baik tidak dikeluarkan, UMNO sebenarnya masih cergas membantu masyarakat tetapi tidak diberi pengiktirafan. Cerita tidak elok diperbesarkan.

''Saya tidak kata kita tidak ada kelemahan. Memang ada ahli yang menjejaskan parti seperti terbabit rasuah politik tetapi gambaran keseluruhannya tidaklah sebegitu, jadi persepsi pemikiran rakyat terhadap UMNO perlu diperbetulkan," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url