Top Ad 728x90

, ,

Najib ketuai Perak ganti Tajol

Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Mac ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah ini diputuskan berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

''Hanya setakat sampai Mac iaitu sampai selesainya Perhimpunan Agung UMNO. Selepas itu akan dilantik ketua baru bagi UMNO Perak.

''Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Zahid pun begitu juga sampai selepas perhimpunan agung. Selepas itu keputusan baru akan dibuat," katanya.

Tajol Rosli ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau meletakkan jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu.

Katanya, keputusan itu yang dibuat tanpa paksaan sesiapa itu adalah bagi memastikan kekuatan UMNO di negeri itu kembali kukuh.

''Pada Isnin lalu saya telah memaklumkan hasrat meletakkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan malam ini saya juga memaklumkan kepada mesyuarat MT bahawa saya tidak terpikul untuk memenangkan semula Perak dan alasan ini diterima dengan baik oleh MT.

''Saya merasakan kepimpinan baru yang dilantik untuk memimpin Perak adalah yang terbaik dan sekiranya mereka tidak boleh, tidak ada siapa lagi yang boleh melakukannya," katanya.

Beliau yang cukup puas hati dengan keputusan MT itu berjanji akan memberikan kerjasama kepada kepimpinan baru yang dilantik.

Dalam pada itu, Tajol Rosli berkata, beliau tidak memanggil Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak bagi memaklumkan hasrat untuk meletakkan jawatan kerana tidak mahu ada pihak memujuknya supaya tidak berbuat demikian.

''Selepas pilihan raya umum lalu saya juga pernah mengumumkan untuk meletakkan jawatan berkenaan dan telah diminta timbang balik. Jadi kali ini saya tidak panggil mesyuarat kerana tidak mahu ia berulang," ujarnya.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita di Kampar, Perak, Tajol Rosli berkata, beliau akan meletakkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Perak pada 29 Mac dan memutuskan tidak bertanding mempertahankan jawatan MT.

''Pada akhir Mac ini, saya bukan lagi ahli MT dan pada 29 Mac pula saya akan letak jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik dan bila habis MT gugurlah semua jawatan yang dilantik,'' jelasnya.

- Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90