Najib rayu penyokong Razali sokong calon BN (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Najib Tun Razak merayu dan meminta penyokong serta ahli keluarga Allahyarham Datuk Razali Ismail supaya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada hari pembuangan undi Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, persoalan yang perlu ditentukan sekarang ini bukan mengenai peribadi atau personaliti tetapi mengenai prinsip dan perjuangan berdasarkan kepada wadah yang dibawa oleh UMNO dan BN.

''Tidak ada lagi yang lebih baik dan lebih mulia daripada kita mengenang jasa seorang pejuang itu dengan cara kita meneruskan cadangan, perjuangan dan pemikirannya yang tidak kesampaian.

''Justeru menjadi usaha kita untuk menentukan perjuangan ini (Razali) dapat menjadi suatu kesinambungan. Sekiranya ada sekalipun perbezaan pendapat, selagi parti kita kuat, selagi parti berkuasa, selagi itu perjuangan dapat diteruskan," katanya.

Najib berkata demikian pada majlis jamuan tengah hari di rumah seorang ahli keluarga Allahyarham di Chendering dekat sini hari ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, sebagai seorang Timbalan Menteri Pelajaran, Razali telah bekerja begitu keras tanpa mengira waktu dan tempat demi kemajuan pendidikan negara.

Katanya, ini dibuktikan ketika beberapa hari sebelum kematiannya, Razali dalam waktu yang suntuk telah melawat banyak sekolah di kawasan pedalaman di Malaysia Timur tanpa mengenal keletihan ketika bertugas.

''Atas sebab itu saya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada bidang pendidikan negara.

''Apabila Kementerian Pelajaran mencadangkan supaya ditimbangkan cara mengenang jasa Allahyarham dengan mengabadikan namanya di dua buah institusi pendidikan, maka saya di pihak kerajaan secara spontan beri persetujuan itu," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url