DHA baik untuk perkembangan otak
Dua organ itu memerlukan nutrien khusus untuk berfungsi secara optimal. Antara bahan dikenal pasti penting untuk tumbesaran yang baik ialah asid docosahexaenoic (DHA) yang berfungsi membantu penglihatan, ingatan, tingkah laku, penumpuan, kebolehan belajar dan koordinasi.
Pegawai Saintifik Kanan Efamol Ltd, Nancy Morse, berkata DHA adalah rantai makanan asid lemak politaktepu (LC-PUFAs) yang boleh memberi nutrien penting untuk perkembangan optimum.
Katanya, bahan yang terdapat dalam ikan, daging dan telur itu adalah sebahagian daripada sel membran antara badan dan otak yang merangsang kepada perkembangannya.
“Asid lemak tak tepu dibahagi kepada dua kategori iaitu Omega 6 dan Omega 3 secara asasnya ia seperti vitamin yang mesti ada dalam badan serta mempunyai Linoleic Acid (LA) dan Alpha-linolenic Acid (ALA). Ia juga mengandungi GLA, DGLA, asid arachidonic (AA), EPA, DHA yang semuanya dipanggil LC-PUFAs
“Kekurangan LC-PUFAs antaranya menyebabkan kulit menjadi kering dan dermatitis, sakit dada, kemurungan, kognitif peringatan rendah, penyakit osteoporosis serta artritis. Paling penting, ia memainkan peranan dalam otak antaranya meningkatkan blok binaan DHA untuk semua sel saraf di dalam otak,” katanya.
Morse berkata, kajian terhadap kira-kira 400 kanak-kanak yang diambil sampel darah mereka mendapati mereka yang berusia tujuh tahun mengalami masalah emosi dan tingkah laku. Rata-rata ibu bapa mendapati anak mereka mengalami kemurungan, tekanan, masalah tingkah laku, kedegilan dan agresif.
Bagi menangani masalah itu, ibu perlu mengambil pil sampingan yang mengandungi DHA ketika mengandung dan ketika menyusukan bayi. Ibu mengandung yang memakan ikan dikatakan akan memiliki anak yang mempunyai IQ lebih tinggi sementara ibu mengandung yang mengambil DHA yang kaya dengan minyak ikan boleh mengekalkan status DHA mereka.
“Tambahan pula, selepas bayi lahir ibu juga akan menikmati kesihatan yang lebih baik dengan peringkat DHA lebih tinggi berbanding ibu yang tidak mengambil pil sampingan DHA. Bayi dengan status DHA lebih tinggi mendapat banyak kebaikan antaranya daripada segi pola tidur mereka, memiliki kematangan, meningkatkan proses perhatian dan mental serta memiliki mata lebih baik.
“Selain itu, pada usia empat tahun, kanak-kanak berkenaan akan memiliki IQ tinggi serta skor lebih tinggi dalam kefahaman bahasa, memahami frasa kata serta perbendaharaan kata dengan mudah,” katanya.
Di Jepun, pil sampingan DHA dikatakan mampu mencegah peningkatan tingkah laku agresif akibat tekanan mental di kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan. Sementara itu di Britain pula, DHA mampu memperbaiki tingkah laki akibat kerisauan menjelang peperiksaan seperti selera makan, emosi, penumpuan dan keletihan, kebolehan mengurus dan kualiti tidur yang baik.
Berdasarkan kajian berkenaan, jenama penjagaan kesihatan, Bio Life turut menawarkan produk yang mengandungi DHA dan Efalex yang membantu kanak-kanak mencapai perkembangan otak dan mata. Kajian juga mendapati Efalex membantu kanak-kanak mencapai perkembangan otak dan mata berikutan Efalex kaya dengan nutrien seperti AA dan GLA.
Lebih banyak DHA diambil, lebih baik untuk mata sekali gus meningkatkan kecerdasan kerana kebanyakan kanak-kanak belajar melalui penglihatan.
Kematangan dan kecerdasan kanak-kanak ketika hayatnya bergantung kepada aktiviti dan pemakanan ibu ketika mengandung dan menyusukan bayi. Memiliki bayi sihat otak dan mata, si ibu digalakkan mengambil pil sampingan yang mengandungi DHA supaya kehidupan anak mereka ketika membesar lebih terjamin.
- Berita Harian