USM buat pengambilan pelajar secara terus mulai sesi 2009/2010

Selepas diiktiraf sebagai universiti apex, Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kali akan membuat pengambilan pelajar secara terus mulai sesi pengajian 2009/2010.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata bagi pengambilan pertama tahun ini, universiti itu akan mengambil kira-kira 3,500 pelajar sehingga Mei depan.

"Setakat ini, USM sudah menerima kira-kira 13,000 permohonan untuk kursus matrikulasi, diploma dan A level menerusi aplikasi dalam talian www.usm.my," katanya selepas merasmikan Simposium `International Counselling and Social Works (ICSWS) di Kompleks Eureka USM, kelmarin.

Kira-kira 100 peserta dari 20 negara menyertai simposium dua hari berakhir semalam. Lebih 70 kertas kerja pelbagai topik berkaitan cara mewujudkan keamanan global dibentangkan pada simposium itu.

Dzulkifli berkata, USM sudah diberikan kebenaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuat pengambilan pelajar secara terus berbanding sebelum ini melalui Unit Pusat Universiti.

“Pengambilan calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia akan dibuat pada awal bulan depan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua calon perlu menjalani ujian penetapan kursus yang dikendalikan secara profesional oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dan USM menerima calon yang layak saja.

Katanya, langkah itu bagi mengelak pelajar mengambil sesuatu kursus yang tidak diminati.

“Contohnya, ramai pelajar yang tidak berminat dalam jurusan kedoktoran tetapi mengambilnya atas desakan ibu bapa dan akhirnya mereka gagal," katanya.

Dzulkifli berkata, USM juga akan memberikan insentif kepada pelajarnya termasuk diskaun, yuran penginapan, kos membeli buku dan komputer riba.

Selain itu, katanya, universiti berkenaan juga mahu menarik pelajar mengikut kursus yang penting tetapi tidak popular termasuk Sains Pendidikan, Ilmu Kemanusiaan dan Kemasyarakatan kerana kurang promosi.

"Kita juga mahu menambah bilangan pelajar di kalangan Orang Kurang Upaya dan warga emas berusia 50 tahun ke atas dengan memberikan potongan 50 peratus yuran pengajian serta pengecualian yuran penginapan," katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url