Faizal Tahir mahu bersara?
Ketika ditemubual sekumpulan media sejurus selepas acara penuh gilang gemilang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 berakhir, penyanyi itu membuat kejutan apabila mengumumkan dia ingin bersara seketika dalam bidang nyanyian bagi menumpukan perhatian terhadap kehidupan peribadinya.
Tegas Faizal yang mencatat sejarah peribadi dalam AJL ke-23 apabila dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik dan kategori Vokal Terbaik untuk lagu Sampai Syurga, keputusannya itu dibuat dengan kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.
“Saya sudah lama memikirkan perkara ini. Rasanya inilah masa terbaik untuk saya berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga saya. Saya pun bukan muda lagi.Sudah mencecah 31 tahun pun.
“Lagipun anak-anak saya sedang membesar dan tak lama lagi saya bakal menerima anggota baru. Kalau boleh saya tak mahu anak-anak saya membesar dalam keadaan saya seperti ini.
“Sebelum ini pun saya selalu berpesan kepada isteri supaya tidak membenarkan anak saya melihat saya di TV. Perkara ini memang sudah lama berada di fikiran dan tak ada sesiapa yang mempengaruhi saya pun.
“Semuanya atas kehendak sendiri,” luah Faizal sekali gus mengejutkan kebanyakan wartawan yang mengerumuninya ketika itu.
Ditanya apakah keputusan itu disebabkan perasaan kecewanya terhadap kontroversi yang berlaku sebelum ini, Faizal menyangkal perkara itu menjadi puncanya.
“Keputusan ini dibuat selepas saya melihat persekitaran industri seni kita yang kini semakin diwarnai dengan pelbagai bakat baru yang hebat. Contohnya macam pemenang malam ini Meet Uncle Hussain (MUH), Aizat.
“Mereka ini memang berbakat besar dan saya bangga kerana dunia hiburan kita sudah ada pelapis,” kata penyanyi yang mendapat jolokan ‘Superman’ ini.
Mungkin apa yang diputuskan Faizal ini mampu mengundang persoalan di kalangan peminat setianya memandangkan keputusannya untuk ‘bersara’ dalam bidang seni itu dibuat di saat namanya sedang berada di kemuncak.
Ketika diajukan persoalan itu kepada si empunya diri, Faizal berkata apapun, perkara itu perlu dibincangkan dengan pihak pengurusan dan syarikat rakamannya, Monkey Bone Records.
“Mungkin saya akan berbincang sekali lagi bersama mereka untuk mendapat pelepasan. Saya ada meminta cuti daripada mereka sebelum ini. Cuti untuk beberapa bulan. Tujuannya adalah untuk saya memikirkan kembali ke manakah arah tujuan karier saya selepas ini.
“Tapi tak mustahil saya akan bersara terus. Apapun, kalau ditakdirkan saya kembali ke bidang seni, mungkin saya lebih selesa untuk berada di belakang tabir seperti menulis lagu dan lirik,” katanya yang kelihatan serba salah untuk mengulas setiap pertanyaan yang dikemukakan padanya.
Lepas geram pada AJL23
RAMAI yang sudah sedia maklum bahawa Faizal tidak dapat menyertai Anugerah Juara Lagu ke-22 tahun lalu apabila dia digam dari muncul secara live dalam mana-mana stesen TV.
Lagu Kasih Tercipta nyanyiannya dibawakan pemenang program realiti Mentor , Fiq. Mungkin kerana geram tidak dapat beraksi tahun lalu maka Faizal sewaktu menyampaikan lagu Sampai Syurga, memberikan yang terbaik dari terutama dari segi vokal dan juga aksi persembahannya.
Sambil menyampaikan bait-bait lirik yang cukup romantis. Penyanyi ini kelihatan konsisten dari mula persembahan sehinggalah ke nyanyiannya yang terakhir.
Apakah ini menunjukkan yang Faizal ingin lepas geram dan balas dendam memandangkan tahun lalu dia hanya menonton program itu menerusi kaca televisyen di rumahnya.
“Bagi saya perkara ini tidak ada kena mengena dengan balas dendam atau marak pada sesiapa. Cuma ini adalah peluang untuk saya dan saya harus memberikan sesuatu kepada peminat saya serta penonton.
“Alhamdulillah, saya ni kalau sedang membuat persembahan, saya akan fokus pada nyanyian dan apa yang berlaku di sekeliling, saya tak ambil kisah. Sebab itu saya mampu memberikan sepenuh tumpuan dalam persembahan saya,”katanya.
Tahun ini, selain Sampai Syurga, Faizal juga bertarung untuk lagu Coba, hasil ciptaan Audi Mok dan lirik nukilan dirinya sendiri. Dan, melihat kepada cara Faizal persembahan Faizal malam itu, jelas kelihatan persediaan Faizal lebih kepada Sampai Syurga sehingga ada yang mempertikaikan perkara itu dan mendakwa Faizal bersikap pilih kasih.
“Sebenarnya untuk kedua-dua buah lagu itu saya memberikan usaha yang sama rata. Mungkin dari segi persembahan ada kelainan tetapi dari segi vokal, semangat yang ditunjukkan, ia cukup adil,” tegas bapa kepada tiga cahaya mata ini.
Ditanya bagaimanakah reaksinya menerima kemenangan MUH sedangkan dia meraih kejayaan bertimpa-timpa malam itu, Faizal mempunyai jawapan tersendiri berhubung perkara itu.
“Kalau ada sesiapa yang pernah menemubual saya sebelum ini, saya sering mengatakan yang lagu MUH yang akan menjadi juara kerana ia unik dan susunan muziknya cukup segar. Jadi apabila lagu itu diangkat sebagai juara, saya tidak terkejut. Malah saya gembira dengan kemenangan mereka itu,” puji Faizal.
- Berita Harian