Filem Maut: Dakwah cara Bade

Pengarah terkenal, Badarudin Azmi atau lebih dikenali sebagai Bade sememangnya cukup terkenal dengan penghasilan filem yang mempunyai tema yang berbeza.

Lihatlah sahaja bagaimana impak yang terhasil menerusi filem KL Menjerit sehingga filem berkenaan layak dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 pada tahun 2003.

Malah, dia juga berjaya menerima anugerah Pengarah Terbaik sekali gus menjadikan KL Menjerit sebagai salah sebuah filem yang mencatatkan kutipan box-office pada tahun berkenaan.

Filem demi filem yang dihasilkan Bade sudah cukup mencerminkan betapa seriusnya pengarah ini mahu memberikan variasi serta pendekatan baru dalam penerbitan filem tempatan.

Selepas kali terakhir muncul dengan filem Syaitan pada tahun 2007, Bade kini, sudah bersedia menggegarkan pawagam tempatan dengan buah tangan terbarunya yang berjudul Maut.

Bukan itu sahaja, Maut juga merupakan filem Melayu tempatan yang membuka tirainya untuk tahun 2009 apabila mula ditayangkan pada 15 Januari lalu.

Pada asalnya, tajuk filem ini adalah Malaikat Maut namun, atas desakan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF), filem ini akhirnya bertukar tajuk kepada Maut.

Bukan itu sahaja, bimbang dengan visual yang ditonjolkan mampu menganggu penonton yang menonton filem ini kelak, Maut tidak terlepas daripada menjadi mangsa potongan LPF apabila 11 babaknya telah dicantas.

Ditemui sebaik sahaja tayangan media filem ini di GSC MidValley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Bade menjelaskan, filem ini sememangnya diterbitkan untuk mengangkat subjek tentang tugas malaikat maut.

"Saya tahu filem ini akan memberikan maklum balas yang kurang baik daripada pihak LPF dan apa yang saya lakukan adalah untuk meneruskan filem ini seperti mana yang saya rancangkan pada awalnya.

"Apabila sudah siap dan di hantar ke LPF, mereka menilai filem saya dan mendapati ada beberapa babak yang tidak sesuai.

"Bukan itu sahaja, malah, tajuknya juga perlu ditukar. Hampir beratus tajuk yang dipilih, akhirnya, saya sendiri yang memilih Maut agar lebih senang untuk diingati," kata Bade yang juga suami kepada pengarah terkenal, Erma Fatima.

Tambahnya lagi, dengan apa yang telah berlaku, dia terpaksa melakukan beberapa rombakan terutama dari segi suntingan agar mood penonton kelak tidak terganggu.

Seiring dengan usianya, Bade turut memberitahu, sudah tiba masanya untuk dia melangkah setapak lagi dalam mempelbagaikan jalan ceritanya agar ia mampu memberikan kesan dan impak kepada penonton.

Dalam erti kata lain, Maut adalah cara yang paling senang untuk Bade menyampaikan dakwahnya dalam filem yang mengangkat bertemakan Islamik ini.

"Apa yang dipaparkan dalam Maut ialah kisah yang orang Islam sendiri tidak boleh jelaskan. Saya buat filem ini sebaik dan sehalus yang mungkin agar ia tidak menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

"Filem ini sebenarnya sarat dengan meskipun temanya kedengaran agak berat. Saya telah lakukan sebaik mungkin untuk penonton mudah memahami jalan cerita Maut.

"Malah, saya juga percaya filem ini mampu diterima dengan baik oleh penonton tempatan," ujarnya yang turut menulis lakon layar Maut berdasarkan ideanya.

Maut menampilkan tiga jalan cerita yang berbeza yang berlaku dalam tiga bulan Islam iaitu Syaaban, Ramadan dan Syawal menerusi pengamatan dan kejadian menerusi kaca mata tiga manusia.

Filem ini menampilkan barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya iaitu Liyana Jasmay, Que Haidar, Sabrina Hassan, Siti Shahrizah (Eja), Diana Danielle, Danny X-Factor, Raja Farah, Nana, Awal Ashaari dan ramai lagi.

Bersedia untuk dikritik

Bagi penerbit eksekutif filem ini, Gayatri Su-Lin Pillai pula, dia begitu tertarik dengan Maut selepas filem Syaitan mendapat reaksi yang positif dari pelbagai pihak meskipun filem tersebut tidak mendapat kutipan yang memberangsangkan.

"Pada awalnya, filem ini membariskan pelakon yang agak senior tetapi setelah berbincang dengan Bade dan juga krew, kami mengambil keputusan untuk menampilkan barisan pelakon yang lebih muda agar ia lebih dekat kepada penonton.

"Malah, kami juga bersedia untuk dikritik kerana daripada kritikan, kami tahu apa yang perlu diperbaiki. Bukan itu sahaja, bagi kami, apabila ada pihak memuji filem mahupun mengkritik sesebuah filem itu, ia bermakna filem berkenaan ditonton dengan penuh jiwa oleh penonton," katanya yang mesra disapa Gaya itu.

Wanita tinggi lampai ini juga mengharapkan filem Maut mampu diterima dengan baik oleh penonton dan sudah pasti, Gaya tidak mahu meletakkan sebarang harapan dari segi kutipan filem untuk Maut.

"Semua penerbit saya percaya mahu filem mereka mendapat kutipan yang besar seperti mana filem Jangan Pandang Belakang.

"Tetapi, masalahnya dengan orang kita, apabila diletakkan sasaran dan ia tidak tercapai, dikatakannya filem kita gagal dan begitulah sebaliknya. Jadi, kalau filem ini mendapat kutipan balik modal, saya cukup gembira," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url