Hubungan Internet Malaysia- Eropah pulih - TM

Telekom Malaysia Bhd. (TM) hari ini mengumumkan kerja baik pulih sistem kabel dasar laut Southeast Asia-Middle East-Western Europe 4 (SMW4) di antara Palemo Selatan Itali dan Alezandria (Utara Mesir) yang menghubungkan Malaysia ke Eropah telah selesai.

TM dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, buat masa sekarang, kapasiti jalur lebar syarikat itu ke Eropah telah pun pulih sejak tiga petang Ahad lalu manakala perkhidmatan suara dan data kembali pulih seperti biasa sejak petang semalam.

TM berkata: ''Semua sambungan antarabangsa dan perkhidmatan kami sedang beroperasi seperti biasa.

''Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas kefahaman dan kesabaran mereka sepanjang tempoh tersebut,'' katanya.

TM menjelaskan pelanggannya boleh menghubungi TM di talian 100 atau menghantar e-mel ke help@tm.com.my untuk melaporkan sebarang masalah berkaitan perkhidmatan telefon atau Internet.

Pada 21 Disember lalu, perkhidmatan internet telah terganggu akibat kerosakan litar sistem kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dengan Eropah.

Berikutan itu, pelanggan perkhidmatan Internet TM akan mengalami sambungan internet yang perlahan ketika melayari laman-laman web yang dihoskan di Eropah.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url