Jualan kenderaan 2009 diramal susut 8.1 peratus
Rakan Niaga dan Ketua Praktis Kenderaan dan Pengangkutan bagi Asia Pasifik, Kavan Mukhtyar berkata, unjuran penurunan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini, adalah berikutan jualan secara besar-besaran yang diadakan pada tahun lalu.
''Frost Sullivan meramalkan jualan kenderaan pada 2008, meningkat 12 peratus lebih tinggi kepada 545,440 buah, meningkat 4.7 peratus daripada jangkaan awal berjumlah 521,200 buah berikutan pelancaran model baru dan momentum jualan berterusan pada 2007.
''Walaupun TIV pada tahun ini diramalkan lebih rendah berbanding tahun lalu, tetapi ia dianggap lebih berpatutan berbanding tahun 2006 dan 2007 yang masing-masing mempunyai TIV sebanyak 490,000 dan 487,000 buah,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat media mengenai unjuran sektor automotif Malaysia untuk 2009 di sini hari ini.
Tambah Mukhtyar, TIV bagi bulan Disember tahun lalu adalah diramal berada pada sekitar 37,000 hingga 39,000 buah.
Sementara itu, Mukhtyar berkata, kenderaan penumpang bakal menerima tekanan daripada keadaan ekonomi semasa apabila pelanggan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pinjaman baru dan menunda rancangan untuk bertukar kenderaan baru.
''Bagi kenderaan penumpang ia dijangka akan menyusut pada tahun ini 6.8 peratus, manakala kenderaan komersial menyaksikan kejatuhan terbesar sebanyak 20.9 peratus kepada 39,000 buah berbanding 49,325 buah tahun lalu, disebabkan oleh tindakan syarikat-syarikat membekukan pembelian baru,'' jelasnya.
Mukhtyar menjelaskan, walaupun unjuran yang dibuat oleh Frost & Sullivan rendah tetapi asas atau dasaran ekonomi Malaysia masih kukuh.
Meskipun aktiviti berkaitan eksport dan pembuatan akan terjejas, tetapi pencapaian ekonomi negara yang disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dijangka masih dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Mengulas mengenai kurangnya pelancaran model terbaru kenderaan tahun ini, Mukhtyar berkata, langkah itu merupakan strategi yang diambil oleh syarikat pengeluar kenderaan.
Selain itu, kata Mukhtyar, sektor jualan kenderaan dijangka mendapat sokongan daripada penurunan kadar faedah, permintaan berterusan untuk bertukar kenderaan, kadar inflasi yang rendah, pertumbuhan ekonomi dengan bantuan pakej rangsangan serta pelancaran segmen baru kenderaan pelbagai guna (MPV).
''Permintaan terhadap MPV dijangka meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada 57,000 buah ekoran pelancaran model terbaru oleh Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).
''Kadar pinjaman kenderaan yang diunjurkan berada pada paras 2.8 hingga 2.9 peratus, akan menarik minat pinjaman dan menyokong jualan kenderaan keseluruhannya pada tahun ini,'' katanya.
Bagi tempoh jangka panjang, Frost & Sullivan meramalkan pertumbuhan jualan kenderaan di Malaysia sangat positif berikutan bilangan siswazah yang bakal memasuki pasaran kerja semakin meningkat.