Peniaga rojak cedera ditimpa bendera gergasi PAS (PRK Kuala Terengganu)

Seorang peniaga rojak cedera apabila sehelai bendera gergasi Pas yang dipasang di Jalan Banggol di sini, patah lalu menimpa motosikalnya ketika melalui jalan itu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Abd. Rashid Mad Zain, 47, dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pasar Besar Kedai Payang selepas membeli barangan keperluan untuk perniagaannya.

Menurut Abd. Rashid, ketika melalui tempat kejadian, tiang buluh bendera Pas patah menyebabkan bendera berukuran kira-kira 3.7 meter kali 6.1 meter itu menimpanya.

''Keadaan itu menyebabkan saya terhumban ke hadapan dan bendera berkenaan membalut badan apabila saya terguling di atas jalan raya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kejadian yang menimpa peniaga itu mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Gong Tok Nasek di sini.

Ayah kepada empat orang anak berumur 17 hingga 24 tahun itu berkata, dia mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk dan tangan kiri selain semua barang yang dibelinya jatuh bertaburan di atas jalan.

''Saya menunggu kira-kira 10 minit di tepi jalan sebelum Setiausaha MCA negeri, Chin Wai Sun datang menghulurkan bantuan dengan menghantar saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," ujarnya.

Abd. Rashid menambah, dia hanya menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.

''Saya diarahkan berehat dua minggu daripada berniaga dan ini menyukarkan kehidupan kami kerana berniaga merupakan sumber utama pendapatan kami sekeluarga," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid berkata, pihaknya akan membantu peniaga rojak tersebut berdasarkan keperluannya.

Beliau memberitahu, Pergerakan Pemuda UMNO akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan bendera yang dipasang di jalan-jalan raya tidak mengancam keselamatan orang ramai.

''Saya juga meminta semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil ini mengehadkan 'kreativiti' mereka ketika memasang bendera, poster dan kain rentang bagi mengelak ia mengancam keselamatan," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url