Kuala Terengganu penentu nasib BN

Oleh Datuk Abdul Rahman Sulaiman

Dengan berakhirnya proses penamaan calon kelmarin, jelas sudah bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini menjanjikan pertarungan sengit antara Pas yang mewakili gabungan parti pembangkang, Pakatan Rakyat dengan parti yang memerintah Barisan Nasional (BN) melalui Umno, walaupun seorang calon Bebas turut bertanding.

Kehadiran puluhan ribu penyokong kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di ibu negeri Terengganu itu membuktikan minat yang cukup mendalam terhadap pilihan raya kecil yang kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.

Satu lagi pilihan raya kecil pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu, yang berakhir dengan kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat selepas kerusi itu dikosongkan isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Memandangkan kejayaan itu yang menyusuli prestasi luar jangkaan pakatan pembangkang, dianggotai PKR, Pas dan DAP pada pilihan raya umum lalu, maka tidaklah sesuatu yang menghairankan jika mereka akan berhempas pulas untuk merampas kerusi Kuala Terengganu yang pernah dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum 1999 dan beberapa kali sebelum itu.

Untuk itu, apa saja taktik yang boleh membakar semangat pekerja dan penyokong parti akan digunakan, termasuk kaedah psikologi untuk melemahkan lawan. Ini jelas daripada kenyataan 'pakar strategi' PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini bahawa orang Melayu yang mengundi pembangkang, termasuk di Kuala Terengganu, pada pilihan raya lalu tidak akan kembali kepada Umno, walaupun selepas pertukaran pucuk pimpinan negara.

Strategi yang diguna pakai pembangkang, khususnya PKR adalah strategi jangka panjang untuk menghakiskan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap Umno dan BN, sebagai persediaan untuk merampas kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Teras utama strategi ini tentulah untuk menghancurkan kewibawaan pemimpin utama Umno dan BN, terutama bakal Presiden Umno dan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Itulah sebabnya kenapa Najib terus menerus dijadikan mangsa serangan peribadi mulai daripada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok sehinggalah kepada pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Kuala Terengganu pasti akan dijadikan kesinambungan kepada usaha itu.

Ini jelas terbukti daripada penahanan beberapa orang penyokong pembangkang yang cuba menampal poster gambar wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu di beberapa kawasan di Kuala Terengganu beberapa hari lalu. Altantuya adalah mangsa pembunuhan kejam yang kesnya masih dalam proses perbicaraan.

Pelbagai percubaan dilakukan pelbagai pihak termasuk penyokong pembangkang untuk mengaitkan Najib dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes berkenaan. Tuduhan itu jelas tidak berasas sama sekali.

Reaksi Najib terhadap taktik itu cukup menyegarkan. Beliau menganggap tindakan terbabit sebagai tidak relevan kerana kes Altantuya tiada kena mengena dengan pilihan raya kecil berkenaan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan andaian bahawa pilihan raya kecil itu sebagai 'referendum' untuk mengukur populariti pemimpin kerajaan sama ada pada peringkat pusat atau negeri.

"Ini bukan referendum untuk saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Ahmad Said," katanya.

Apa pun BN mempunyai banyak sebab untuk berusaha sedaya mungkin bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

Pertama, walaupun kawasan itu bukan kubu BN, tetapi selepas berjaya memenanginya pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008, Kuala Terengganu sudah menjadi macam hak BN.

Kedua, kejayaan mempertahankan kerusi itu akan mematahkan percubaan pembangkang untuk menjadikan Kuala Terengganu sebagai kesinambungan perang psikologi mereka untuk melemahkan kerajaan dan kepemimpinan kerajaan.

Ketiga, ia memberi peluang kepada pengundi di kawasan berkenaan untuk terus diwakili oleh seorang Timbalan Menteri yang sudah barang tentu akan memberi lebih banyak manfaat kepada mereka daripada diwakili seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam konteks inilah orang ramai, termasuk pemerhati dan penganalisis politik harus melihat pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Seramai lebih 80,000 pengundi yang terbabit juga perlu melihat dan membuat pertimbangan dalam konteks sama apabila mereka keluar mengundi nanti – sama ada untuk memilih calon BN, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut atau calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pilihan raya kecil berkenaan terpaksa diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu yang mewakili kawasan terbabit sebelum itu. Ia tiada kena mengena dengan usaha mengukur populariti atau keberkesanan kepemimpinan seseorang.

Najib ditugaskan mengepalai jentera kempen BN hanya untuk meneruskan tradisi parti itu yang selama ini memang menetapkan Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN sebagai pengarah mana-mana pilihan raya kecil.

Sama ada Najib popular atau kepemimpinan beliau berkesan akan hanya boleh ditentukan selepas beliau mengambil alih secara rasmi sebagai Presiden Umno, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Mac depan.

Juga sama ada Umno dan BN akan pulih sepenuhnya dan kembali mendapat sokongan pengundi selepas menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum lalu, akan hanya dapat diukur selepas pelan pemulihan yang komprehensif dilancarkan.

Ia juga bergantung rapat dengan siapa yang bakal dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri serta anggota Majlis Tertinggi parti itu selepas Perhimpunan Agung Umno akan datang.

Semua ini akan hanya boleh ditentukan oleh ahli Umno, khususnya yang menjadi ahli perwakilan. Pihak lain cuma perlu memberi sokongan dan pengesahan.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url