Wan Farid perhebat kempen rumah ke rumah
Katanya, kaedah mendekati rakyat juga akan diteruskan bagi membolehkan beliau tahu kemahuan dan membantu menyelesaikan masalah mereka dalam tempoh singkat jika pengundi memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat.
"Kita lebih selesa mengadakan kempen dari rumah ke rumah untuk mendekati pengundi dan kaedah itu akan diteruskan sehingga hari pembuangan undi...cara itu juga membolehkan kita bertindak menyelesikan masalah kecil dibangkitkan dalam jangka masa yang singkat.
"Ketika kita mengadakan kempen dari rumah ke rumah dan mendekati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, kita menyelesaikan masalah kecil yang dibangkitkan termasuk mengarahkan jentera pilihan raya di kawasan itu menyediakan kenderaan bagi menghantar seorang pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis amal mesra bersama warga emas sempena Tahun Baru Cina 2009 anjuran Persatuan Meningkatkan Akhlak Che Hoo Khor Terengganu di sini, semalam.
Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata, hasil program mendekati rakyat dilakukan melalui kempen dari rumah ke rumah, banyak masalah kecil pengundi di DUN Wakaf Mempelam dibangkitkan termasuk sistem perparitan dan longkang.
Bagaimanapun, katanya, masalah dialami penduduk sejak lama dulu yang dibangkitkan hasil pertemuan itu gagal diselesaikan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.
"Kita mengarahkan petugas jentera pilihanraya di 35 peti undi kawasan Parlimen Kuala Terengganu menyelesaikan masalah kecil dibangkitkan penduduk dalam tempoh 24 jam," katanya.
- Berita Harian