Pertempuran di Gaza semakin sengit
Letupan kuat dan tembakan dari mesingan menggegarkan daerah Shejaiya malam tadi dan tentera Israel melancarkan serangan bom di bandar ini menggunakan helikopter dan kereta kebal.
Tentera Israel melaporkan, tiga askar mereka dari skuad elit Briged Golani terbunuh dan 24 yang lain cedera setelah sebuah pasukan lain tersilap melancarkan serangan kerana percaya ia adalah kedudukan pejuang Hamas.
Komander briged tersebut, Kolonel Avi Peled turut cedera dalam serangan itu.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak melaporkan di mana kejadian itu berlaku.
Bangunan di daerah Shejaiya dilaporkan rosak teruk dan asap dilihat memenuhi ruang udara berikutan serangan yang didakwa oleh tentera Yahudi disasarkan ke atas pejuang Hamas.
Menurut koresponden AFP, penduduk bandar ini dan bahagian utara Genting Gaza kini terpaksa bergelap setelah bekalan elektrik terputus.
"Serangan di sini telah mengakibatkan tentera Israel terperangkap dalam beberapa jerangkap samar yang dipasang dan mengakibatkan beberapa tentera Israel cedera namun seorang anggota kami terkorban.
"Pihak kami terlibat dalam pertempuran ini di timur Gaza dan komunikasi dengan kami terputus sementara watktu namun serangan masih lagi berlangsung.," kata jurucakap Jihad Islam, Abu Ahmed.
Pertempuran turut dilaporkan berlaku di daerah Zeitun dan Hamas dalam satu kenyataannya memberitahu, pejuang mereka berjaya membunuh 10 orang tentera Yahudi dan memusnahkan tujuh kereta kebal Israel.
Di bandar Deir Al-Balah, empat pejuang Hamas dan dua pejuang Jihad Islam terbunuh setelah pesawat perang Israel melancarkan serangan roket di sebuah rumah.
Sementara itu di bandar Rafah berhampiran sempadan Mesir, seorang warga emas terbunuh dalam serangan udara Israel.
- AFP