PRK P036 Kuala Terengganu - Pemimpin pelbagai lapisan mula kempen

Oleh Azhar Abu Samah
bhnews@bharian.com.my


Perang poster dan perang mulut di antara penyokong calon yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu, terutama Barisan Nasional (BN) dan Pas bermula sebaik tamat hari penamaan calon di Stadium Negeri, kelmarin.

BN memulakan langkah berhemah dengan menampilkan pemimpin pelbagai lapisan, daripada Pemuda, Wanita, negeri hingga Majlis Tertinggi pada pentas ceramah di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Terengganu - Ladang, Bandar, Batu Burok dan Wakaf Mempelam.

Pas pula mengambil pendekatan agresif dengan menurunkan 'tokoh besar' di bawah Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, masing-masing Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ceramah sulung perdananya, malam kelmarin.

Ini adalah senario malam pertama selepas hari penamaan calon dan berdasarkan SMS dan jadual tidak rasmi pemimpin pembangkang, puluhan ceramah akan berlangsung di sini, termasuk daripada bekas pemimpin Umno yang digantung keahliannya baru-baru ini.

Ceramah sulung pembangkang di sini, malam kelmarin, memperlihatkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, terpaksa menjelaskan isu hudud dan qisas yang kurang disenangi pemimpin pembangkang, terutama Kit Siang. Ketika isu ini memuncak apabila dibangkitkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa di Kota Bharu, Anwar berada di luar negara.

Seperti kebiasaannya, Anwar yang mewakili 'kerajaan Pakatan Rakyat' berjanji tidak akan mengenakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam jika meneraju Kerajaan Pusat.

Malah, media arus perdana yang didakwanya dikuasai Umno digunakan untuk memesongkan fikiran rakyat, khususnya yang bukan Islam dalam soal hudud dan qisas. Tuduhan dan momokan Anwar kepada media arus perdana bukan perkara baru kerana beliau sudah melakukan strategi sama ketika pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, pada Ogos 2008.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini menyaksikan pertandingan di antara calon BN, Pas dan Bebas. BN diwakili Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pas oleh Mohd Abdul Wahid Endut dan Bebas, Azharudin Mamat@Adam. Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November 2008.

Pertandingan tiga penjuru ini lebih terjurus kepada Wan Ahmad Farid dan Mohd Abdul Wahid dan boleh diibaratkan sebagai 'pertembungan memilih personaliti' berbanding penyertaan Azharudin yang disifatkan pemerhati politik sebagai 'pelawak' yang mahu mencari nama.

Selain isu tempatan yang dimainkan sejak pilihan raya umum lalu seperti wang royalti, pembinaan Taman Tamadun Islam dan Monsun Cup, tidak banyak isu tertangguh, termasuk isu nasional yang boleh dimainkan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, termasuk isu penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) sudah pun diselesaikan Kerajaan Pusat yang pastinya menggembirakan rakyat.

Wan Ahmad Farid yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dilihat tidak sukar untuk memenangi pilihan raya kecil ini kerana tidak banyak isu melingkari beliau ketika ini, apatah lagi beliau anak tempatan Kuala Terengganu yang disegani dan diterima kepemimpinan Umno bahagian.

Begitu juga Mohd Abdul Wahid yang dilihat sudah sinonim dengan DUN Wakaf Mempelam sejak lima penggal lalu, bukan laluan mudah untuknya melebarkan 'takluknya' sehingga ke Kuala Terengganu, apatah lagi beliau bukanlah calon 'favourite' untuk bertanding di sini.

Hakikatnya, Wan Ahmad Farid sudah membuktikan kemampuan dan mengukir nama pada peringkat nasional dan amat sayang jika hajatnya untuk menabur bakti di Kuala Terengganu dinafikan, hanya kerana beliau dilihat kurang tersenyum, sekali gus dilihat kurang mesra.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url