Suasana Penamaan Calon hangat tapi lancar

Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang diramal hangat sebelum ini berikutan saingan sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan Pas berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Tidak seperti mana Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Ogos lalu, para penyokong kedua-dua parti dilihat lebih berdisiplin dan berjaya mengelak sebarang provokasi sehingga berakhirnya proses penamaan tengah hari ini.

Para penyokong BN mula berkumpul seawal pukul 7 pagi di kediaman Menteri Besar manakala penyokong-penyokong Pas berhimpun di Bulatan Batu Bersurat.

Sebaik pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi, perarakan penyokong yang mengiringi calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mula kelihatan memasuki pekarangan Stadium Negeri yang menjadi pusat penamaan calon.

Mengetuai perarakan lebih 10,000 penyokong itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Tepat pada pukul 9.13 pagi, Wan Ahmad Farid menyerahkan kertas penamaan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mat Razali Kassim.

Turut hadir barisan pemimpin parti komponen BN termasuk Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Sementara itu, kumpulan penyokong Pas yang mengiringi calon mereka, Mohd. Abdul Wahid Endut pula tiba di pekarangan Stadium Negeri kira-kira pukul 9.10 pagi.

Bersama dalam perarakan kumpulan penyokong 10,000 orang itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.

Turut kelihatan beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Selepas calon BN dan Pas masing-masing berada di dalam dewan bagi urusan penamaan calon, pemimpin Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad yang diuar-uarkan akan bertanding tiba memasuki Stadium Negeri kira-kira pukul 9.20 pagi.

Beliau yang berbaju batik bagaimanapun dilihat keluar kurang 10 minit selepas itu dan terus bertemu pemberita memaklumkan keputusannya untuk tidak bertanding.

Pada masa yang sama kelihatan calon bebas, Azharudin Mamat bersama penyokong dan pencadangnya yang berpakaian jubah putih ala pengikut kumpulan Tabligh dilihat memasuki dewan.

Bagaimanapun beliau tergesa-gesa keluar sebelum datang semula bersama seorang lagi lelaki sebelum masa penyerahan kertas pencalonan ditutup pukul 10 pagi.

Walaupun kesuntukan masa, namun kertas pencalonan Azharudin yang berasal dari Kampung Ladang Pasar di sini berjaya diterima SPR apabila dapat menyerahkan kertas penamaan pada pukul 9.58 pagi.

Azharudin di peringkat berhadapan dengan masalah teknikal kerana pencadangnya bukan pemilih berdaftar dalam bahagian pilihan raya Kuala Terengganu.

Setelah tamat tempoh bantahan, Mat Razali pada pukul 11.28 pagi mengumumkan senarai calon yang layak bertanding iaitu Wan Ahmad Farid, Mohd. Abdul Wahid dan Azharudin.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url