Temubual dengan Pakar Ekonomi - Segerakan guna dinar emas
Bagaimanapun, budaya ekonomi Islam sebenar adalah berasaskan dinar. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (ali-‘Imran: 75)
Ini mengingatkan kita kepada saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang penggunaan dinar emas pada tahun 2002.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto NAIM AZIZ menemu bual Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera bagi mengupas isu ini.
Mega: Apakah peranan sektor perbankan dalam krisis kewangan global sekarang?
DR. AHAMED KAMEEL: Amat jelas bahawa sektor perbankan bertanggungjawab dalam kejatuhan sistem kewangan yang melanda dunia. Dalam hal ini, saya memetik kata-kata Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy iaitu, “laissez faire telah mati”.
Sektor perbankan dipertanggungjawabkan di atas krisis ini kerana banyak ‘mencipta wang’ tanpa had yang tidak disandarkan kepada apa-apa, pada kadar yang jauh lebih tinggi daripada kemampuan sebenar perkembangan ekonomi sesebuah negara sehingga menyebabkan bubbles.
Wang dan sistem kewangan amat berkaitan dengan penghasilan kekayaan. Dalam hal ini, institusi kewangan memainkan peranan penting. Ia memobilisasi simpanan sedia ada dan menyalurkan kepada para pelabur agar dapat digunakan untuk penghasilan kekayaan.
Sebab itu, peranan institusi kewangan ini tidak boleh dipandang remeh.
Namun, apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.
Adakah perbankan Islam selamat daripada krisis ini?
DR. AHAMED KAMEEL: Buat masa ini, bank-bank Islam kelihatan stabil dan mampu mengatasi krisis memandangkan mereka tidak melabur dalam instrumen hutang seperti tanggungan hutang berasaskan kolateral (collateralized debt obligations) atau instrumen derivatif (credit default swaps) yang menyebabkan kejatuhan sistem kewangan.
Bagaimanapun, semua bank adalah saling berkaitan antara satu sama lain melalui rangkaian transaksi perakaunan. Oleh itu, kejatuhan bank-bank konvensional akibat pengecutan kredit (credit crunch) akan juga menjejaskan perbankan Islam.
Pada masa ini, perbankan Islam telah bergabung dengan perbankan konvensional. Oleh kerana itu, mereka saling berkaitan melalui rekod-rekod perakaunan. Ini mengakibatkan bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam kurang berdaya tahan dalam menangani kemelesetan kewangan global.
Sebagai rakan kongsi bank konvensional, bank Islam turut beroperasi dalam ruang lingkup sistem perbankan rezab berkadar (fractional reserve banking) yang menggunakan ‘wang fiat’ yang tidak disandarkan dengan komoditi sebenar seperti emas dan perak.
Bagaimana penggunaan dinar emas boleh mengatasi kerapuhan kredit yang dialami sekarang?
DR. AHAMED KAMEEL: Jika bank dan kewangan Islam mahu memainkan peranan yang lebih bermakna ke arah peningkatan ummah, ia harus kembali kepada bentuk asal. Menyandarkan wang kepada ekonomi benar melalui komoditi utama.
Sekarang adalah masa yang sesuai memperkenalkan dinar emas sebagai mata wang. Ia boleh mengelakkan penghasilan wang yang akan mewujudkan bubbles. Tanpa usaha dan langkah tersebut adalah mustahil memerangi masalah kemelesetan ekonomi global.
Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia telah melihat kebaikan dinar emas untuk digunakan sebagai wang seragam dan sama nilai sejak 2002 lagi. Tetapi pada ketika gagasan ini agak baru, dipandang remeh dan dilihat sebagai saingan dan meniru euro dolar di Eropah. Ramai yang tidak percaya dolar AS akan runtuh sebagai mana hari ini.
Istilah ini dipilih kerana berteraskan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad lagi, iaitu dinar. Dinar emas telah diperluaskan lagi pada zaman Khulafa Al Rasyidin yang tersebar dari Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara kemudiannya.
Dalam ekonomi, dinar boleh berperanan untuk meningkatkan serta mempertahankan kekayaan. Emas juga tidak mudah runtuh dan nilainya akan meningkat semasa inflasi. Bukan seperti mata wang di mana semasa inflasi nilainya akan jatuh.
Saya yakin apabila harga barang diletakkan pada kadar emas inflasi tidak akan berlaku. Emas tidak boleh dicipta sesuka hati dan nilainya bukan sahaja tetap, tetapi ia juga tidak mudah rosak walaupun ditanam beratus-ratus tahun lamanya. Sebab itu, selepas krisis ekonomi pada tahun 1997 akibat penyangak mata wang George Soros, kerajaan mengenalpasti bahawa dinar emaslah penyelesaiannya.
Penggunaan dinar emas bukan bermakna kita mesti memikul emas setiap kali berurus niaga. Sebaliknya, ia menjadi asas kepada kedudukan simpanan kewangan kita.
Antara mekanisme berbelanja ialah mewujudkan sistem pembayaran emas elektronik seperti kad debit yang digunakan sekarang. Dengan itu, kita boleh berbelanja tanpa menggunakan wang fizikal.
Spekulator mata wang pun tidak boleh membuat spekulasi sebab dinar emas ini adalah benar bukan seperti wang yang boleh dicetak sesuka hati yang tiada nilai intrinsik.
Contohnya, Semasa Perang Vietnam 1969-1975, AS dikatakan mencetak wang kertas dolar untuk menampung kos peperangan.
Ironi dalam hal ini adalah tidak yakinnya negara-negara Islam termasuk anggota OIC menggunakan dinar emas. Bagaimana mengatasinya?
DR. AHAMED KAMEEL: Antara sebab paling kuat adalah kita sudah terlalu lama dalam sistem kewangan sedia ada. Kita sangka sistem perbankan AS itu yang terbaik.
Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua mata wang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan mata wang AS.
Wang kertas dolar pada mulanya disandarkan kepada nilai emas. Tetapi kemudian sandaran emas ini tidak lagi digunakan. Akibatnya wang kertas dan syiling asyik turun dan naik dan sukar untuk memantapkannya.
Dinar emas pernah digunakan sebagai piawai bagi mata wang dunia ribuan tahun lamanya. Ia runtuh dalam pemerintahan Uthmaniah yang membuat pinjaman wang dari Britain.
Jangan kita bimbang membebaskan diri daripada sistem kewangan konvensional yang mengamalkan riba. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu... (al-Baqarah: 279)
Dinar emas disasarkan kepada negara-negara Islam yang menyertai Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Dinar emas diharap menjadi mekanisme pasaran global yang dapat mengatasi masalah penyangak mata wang yang berleluasa di setiap pasaran saham. Negara-negara Islam yang banyak mengeksport petroleum diharap dapat menjayakan wawasan murni yang pernah digunakan oleh Rasulullah.
Apabila kita terima dolar sebagai mata wang antarabangsa, mereka boleh menciptanya begitu sahaja lalu membeli barang dari seluruh dunia. Itulah yang akan dilakukan dengan wang pembiayaan AS700 bilion dan beberapa trilion oleh Federal Reserve bagi menangani krisis kewangan termasuk Lehman Brothers di AS.
Saya berharap kerajaan boleh memberi sedikit dana untuk kita membangunkan dinar emas ini. Ia supaya sistem ini dapat dibangunkan dalam masa dua tahun ini di mana yang dijangkakan pengangguran akan bertambah.
Jika kita melaksanakan suruhan Allah, insya-Allah kita akan dipelihara daripada kesulitan. Malah diberi rezeki daripada pelbagai cara. Allah berfirman yang maksudnya: Jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat kami itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (al-A’raaf: 96)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang maksudnya: Dan jika mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat, Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah mereka...(al-Maidah: 66)
Allah Maha Kaya dan Maha Pemurah pula. Jadi tiada sebab kenapa 50 peratus daripada negara Islam patut hidup dalam kemiskinan. Kini masanya sudah tiba untuk kita ubah sikap kita, mengubah sistem kewangan kita kepada yang asal, bersih dari riba dan menadah rahmat kurnia dari Tuhan kita.
- Utusan