Kapal Terbang terhempas di New York
Pembentukan ais pada bahagian sayap mungkin menjadi punca pesawat Continental Airlines terhempas dekat bandar Buffalo dan membunuh 50 penumpang, demikian menurut penyiasat persekutuan.
Penerbangan 3407 dari Newark, New Jersey ke Buffalo terhempas dan menimpa sebuah rumah di Clarence Center semalam.
Pesawat jenis Bombardier Dash 8 Q400 turboprop itu meletup sebaik terhempas dan meragut nyawa 49 penumpang dan seorang krew.
Seorang lagi mangsa adalah penghuni rumah berkenaan sementara seorang wanita dan anak perempuannya berjaya merangkak keluar dari runtuhan dengan kecederaan ringan.
"Krew membincangkan pembentukan ais pada cermin depan dan bucu sayap," kata seorang penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Steven Chealander.
Petunjuk itu diperoleh daripada rakaman kotak hitam yang ditemui di kawasan kejadian.
NTSB masih belum membuat kesimpulan akhir mengenai punca nahas, Chealander menyatakan kemungkinan pembentukan ais tersebut menjadi punca utama.
"Pembentukan ais yang ketara mencacatkan aerodinamik sayap kerana ia mengubah bentuk sayap," tambahnya.
Saksi kejadian menceritakan bunyi bising luar biasa seperti bunyi lebah, kemudian keadaan bertukar sepi sebelum letupan kuat menggegarkan kawasan tersebut.
Pasukan penyiasat menjelaskan bahawa rakaman kotak hitam menunjukkan krew pesawat bimbang dengan keadaan cuaca serta tahap penglihatan rendah akibat salji dan kabus ketika menghampiri Buffalo.
Mereka diminta merendahkan pesawat pada aras 11,000 kaki namun mula menyedari masalah pembentukan ais.
Chealander memberitahu, beberapa saat selepas tayar pendaratan dibuka, pesawat itu mengalami masalah penerbangan dan mereka cuba menutupnya kembali sebelum rakaman tamat.
Ujarnya, siasatan masih dijalankan dan belum ada sebarang keputusan dibuat ketika NTSB dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berusaha mencari punca nahas.
- AFP