Nizar nafi nak saman Sultan Perak
Mohammad Nizar berkata, tidak pernah terniat langsung di hatinya untuk menyaman Sultan Azlan sebaliknya mendakwa apa yang dilaporkan itu adalah satu fitnah daripada media UMNO dan Barisan Nasional (BN).
''Saya hendak nyatakan saya menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menyaman Tuanku. Ini satu pembohongan besar, satu fitnah daripada BN khususnya UMNO.
''Di dunia akhirat saya akan tuntut kerana tidak ada langsung dalam hati saya terniat untuk menyaman atau ambil tindakan terhadap Tuanku," katanya pada satu sidang akhbar khas di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.
Dalam satu sidang akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh di Kuala Lumpur, Mohammad Nizar dilaporkan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini kerana mendakwa Tuanku bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini sebagai tidak sah.
Karpal berkata, di dalam saman tersebut, Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri BN di negeri ini sebagai defendan kedua.
Menurut Mohammad Nizar, beliau sebenarnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang didakwa beliau sebagai Menteri Besar tidak sah.
Katanya, saman tersebut akan difailkan melalui peguam Raja Aziz Addruse di Mahkamah Tinggi Ipoh seawal-awalnya petang ini atau selewat-lewatnya Selasa ini.
''Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar haram kerana apa yg dibuat oleh BN khususnya UMNO telah merampas hak rakyat.
''Jadi kerajaan itu adalah haram di sisi undang-undang dan rakyat," jelasnya sambil menambah, saman itu adalah atas kapasiti beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar mendakwa keengganan beliau untuk akur kepada titah Sultan Azlan adalah kerana ingin mengembalikan martabat institusi diraja supaya dihormati rakyat.
Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat melihat Sultan Azlan menyebelahi mana-mana parti politik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar dan kerajaan negeri.
- UTUSAN