250,000 dijangka ke MSAM
Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata tahun ini, lebih banyak acara menarik dianjurkan bagi menarik kunjungan penduduk sekitar Johor, termasuk dari Singapura.
"Penganjuran di Melaka tahun lalu berjaya menarik 249,000 pengunjung, dan jika 250,000 orang mengunjungi MSAM 2009, jumlah itu sudah cukup baik bagi kami," katanya kepada pemberita selepas meraikan rakan MSAM 2009, di Kuala Lumpur, semalam.
Tahun ini, beberapa acara menarik akan dianjurkan termasuk membuka peluang kepada 500 graduan menganggur untuk mendapat tempat menimba pengalaman sebagai pengurus pelaburan di PNB.
Hamad Kama Piah berkata, program yang pertama kali dianjurkan sepanjang 10 tahun MSAM diadakan sejak 2000, bakal membuka laluan kepada usaha menjana tenaga insan dalam bidang berkenaan.
Katanya, menerusi program yang selari dengan program PNB Investment Bridging (PNB IB) yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu, akan turut membantu kerajaan mengurangkan bilangan siswazah menganggur dalam suasana kelembapan ekonomi ketika ini.
"Kami akan membuka kaunter temu duga untuk membuat pengambilan di kalangan siswazah menganggur yang layak untuk mendapat peluang belajar mengenai teknik pelaburan.
"Mereka yang terpilih akan dilatih selama tiga bulan di PNB dan tiga bulan lagi di syarikat dalam kumpulan PNB, yang mana sepanjang latihan mereka akan diberi elaun khas," katanya.
Bertemakan 'Peneraju Pendidikan Pelaburan', MSAM 2009 bakal disertai 58 syarikat yang merangkumi syarikat dalam Kumpulan PNB, selain badan kawal selia, agensi kerajaan dan swasta.
"Kali ini MSAM turut menarik penyertaan empat peserta baru iaitu Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti, Plus Expressways Bhd, dan SP Setia Bhd dan Uda Angsana Sdn Bhd," kata Hamad Kama Piah.
MSAM 2009 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 April dan acara penutup akan disempurnakan oleh timbalannya pada 27 April.
- BERITA HARIAN