Media konvensional-alternatif perlu adil, bertanggungjawab
Ingatan itu sarat dengan harapan. Najib mahu media - konvensional dan alternatif - tidak terpengaruh atau lalai dibawa arus berunsur khabar angin atau teori konspirasi.
Mereka yang terlibat dengan dunia media seharusnya berasa dihargai dengan peringatan itu. Harapan tersebut disuarakan selepas empat hari beliau bergelar Perdana Menteri. Ia merupakan antara ucapan pertama beliau selepas bergelar orang nombor satu negara.
Fakta, adil dan bertanggungjawab merupakan elemen yang sangat penting. Ketika negara digugat oleh pelbagai kisah yang menggoyah keharmonian - kaum dan agama - ketiga-tiga unsur itu perlu diberi perhatian.
Media memang berpengaruh. Orang ramai mudah terpesona dengan apa yang disajikan. Apatah lagi jika ia berunsur kontroversi.
Masyarakat kini turut dihidangkan dengan media alternatif seperti laman web dan blog yang "tumbuh seperti cendawan selepas hujan". Senario itu menyebabkan media menjadi semakin tidak terhad dan ada ketikanya, tidak terkawal.
Setiap blog dan laman web biasanya cenderung kepada pihak tertentu. Dalam keghairahan untuk menarik pembaca, ramai di kalangan pengendali atau blogger bertindak membelakangkan ketiga-tiga unsur tersebut.
Ramai yang cenderung mengenepikan fakta. Mereka ghairah menyuarakan pendapat atau melaporkan berita tanpa mempedulikan kesahihan. Sekali gus menafikan unsur "adil dan bertanggungjawab".
Laporan yang bersifat hentam-menghentam dan memburuk-burukkan pihak yang tidak disukai menjadi mainan para bloggers ketika ini.
Teori konspirasi sememangnya digemari ramai. Semakin banyak konspirasi dan khabar angin diutarakan, semakin 'laris' blog berkenaan. Mungkin laporan seperti itu sangat popular namun sebenarnya ia tidak menyumbang apa-apa untuk pembangunan negara. Ia lebih bersifat picisan.
Keadaan itu jika dibiarkan, boleh mencetuskan banyak keburukan berbanding kebaikan. Malah boleh memporak-perandakan keharmonian masyarakat. Dalam konteks Malaysia, penduduk pelbagai kaum dan agama menjadi taruhan.
Namun seperti yang disarankan, media tidak perlu bersifat memihak kepada kerajaan. Ia boleh mengkritik tetapi perlu dilakukan secara berhemah dan membina. Boleh 'menghentam" tetapi jangan secara membabi buta. Semua yang dibuat perlu berasaskan fakta dan bukan secara semberono.
Sesuatu isu boleh diperdebatkan dan dibincang menerusi dialog. Namun kita perlu sedar bahawa sensitiviti pelbagai pihak perlu diambil kira. Perdebatan tidak boleh disandarkan kepada unsur "syok sendiri". Pandangan pihak lain juga perlu dihormati. Paling penting, ia perlu bebas daripada niat jahat. Perlu dilakukan atas dasar membantu negara menuju ke kemuncak.
Maka berdasarkan senario semasa, amat wajar untuk semua pihak yang terlibat dengan media - konvensional atau alternatif - bersikap skeptikal dan kritikal tetapi tidak menyimpang dari landasan.
Unsur adil, bertanggungjawab dan laporan berasaskan fakta perlu sentiasa menjadi pegangan. Ia perlu menjadi landasan agar keadilan itu juga berpihak kepada diri sendiri, bangsa, negara dan paling penting, agama. Ingatlah perbuatan kita bukan sahaja dinilai ketika di dunia.
- UTUSAN