Waspada SMS palsu - Ambank

AmBank (M) Bhd. menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sebarang cubaan oleh pihak ketiga mendapatkan maklumat peribadi dan rahsia mereka.

AmBank, dalam satu kenyataan hari ini berkata, bank itu tidak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan maklumat peribadi dan bukan menjadi dasar bank menanyakan maklumat peribadi menerusi panggilan telefon.

Bank itu menjelaskan bahawa seseorang pelanggan itu mungkin menerima satu SMS atau mesej suara automatik bahawa dia telah melakukan satu transaksi pada kad kreditnya dan mesti membuat panggilan ke satu nombor khas untuk menguruskan pembayarannya.

Pelanggan kemudiannya diberikan satu nombor yang kononnya nombor telefon bahagian kredit kad bank yang mengeluarkan kad dan apabila mendailnya, dia diminta memberikan maklumat kewangan peribadi untuk tindakan mereka selanjutnya.

"Susulannya, apa yang berlaku, maklumat peribadi pelanggan akan digunakan oleh sindiket itu untuk mengakses akaun bank atau kad kredit pelanggan terbabit," kata Ambank.

Ambank menasihati para pelanggan sekiranya ada menerima panggilan SMS atau telefon yang serupa supaya menghubungi Pusat Perhubungan Ambank di talian 1300-80-8888 (domestik) atau 603-2178 8888 (luar negara) untuk pengesahan.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url