Najib perlu kerja lebih keras - Tun Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mentaliti kebanyakan rakyat telah dipengaruhi oleh kepincangan yang berlaku pada kepimpinan kerajaan sebelum ini, sekaligus membentuk satu sentimen yang amat sukar untuk diubah.
Menurutnya, perubahan tersebut menuntut proses yang berpanjangan, justeru Najib perlu tegas dalam memulihkan kembali imej BN dan UMNO.
“Cukup susah untuk mengalih fikiran orang ramai, sebab itu kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib perlu tegas dalam pendirian untuk memulih kembali imej BN, terutamanya imej UMNO sendiri,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah kelmarin.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran buku ‘Mencari Kebahagiaan’ karya Datuk Hashim Abdul Wahab di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.
Dr Mahathir berkata, gejala rasuah yang berlaku secara berleluasa menambahkan rasa tidak puas hati rakyat, selain proses pembangunan yang didakwa tidak pernah berlaku.
“Banyak orang tak senang hati melihat, sudah enam tahun tak ada pembangunan apapun yang kita dapat lihat, manakala kontrak-kontrak (kerajaan siapa dapat pun kita tak tahu. Ramai juga dari industri kecil sederhana tak boleh hidup,” katanya.
Menjawab dakwaan bahawa kekalahan itu disebabkan undi daripada pengundi bukan Melayu, beliau berkata, faktor tersebut tidak mungkin mampu membawa kekalahan bersandarkan kepada majoriti penduduk di kedua-dua kawasan.
“Kalau orang Melayu tak undi PKR di Bukit Selambau, PKR tak akan menang. Masyarakat India minoriti di situ, dia tak boleh menang. (Undi) India campur Cina pun tak boleh menang. Yang bagi undi pada PKR ialah (pengundi) Melayu. Jadi orang Melayu ada juga tak puas hati dengan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau dengan tegas menafikan dakwaan bahawa wujud perjanjian di antara beliau dan Najib untuk menyenaraikan anaknya, Datuk Mukhriz dalam barisan kabinet baru yang akan diumumkan hari ini.
Menurutnya, dakwaan tersebut adalah spekulasi yang sama sekali tidak berasas kerana beliau tidak pernah mencampuri perjalanan politik Mukhriz.
“Saya tak pernah melobi untuk anak saya. Saya tak pernah berkempen untuk beliau, tak pernah bercakap untuk beliau. Saya biarkan dia sendirian dan apabila dia kalah, itu adalah urusan dia.
“Jika Najib ingin melantik beliau, itu adalah urusan Najib, bukan urusan saya,” katanya.
- BERNAMA
BRo..Siapalah yang akan jadi mangsa gantung sampai mati...sebab kami nak juga tenguk muka pembunuh tu...cukuplah mahkamah memperdayakan kami.