Pengalaman jadikan ceramah Fadzley disenangi

Menjadikan pengalaman dan moto hidup sendiri sebagai bahan motivasi membuatkan ceramah yang diberi oleh penyanyi, Dr. Fadzley Yaacob disenangi ramai.

Penyanyi yang kini menjadi pakar motivasi di kalangan pelajar dan golongan korporat itu diundang khas oleh PNB untuk menjayakan program Ikon Inspirasi sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di sini hari ini.

Kelancaran dan senda gurau Fadzley selama satu jam setengah yang bermula pukul 10.30 pagi itu berjaya membuatkan lebih 100 pelajar antaranya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar dan SMK Seri Perling di sini terpegun mendengar ceramahnya.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memulakan segmen motivasi secara santai dengan bacaan doa dan mengakhiri program tersebut dengan lagu Bila April dan Super Hero Mu.

Katanya, sejak usia muda lagi, para pelajar perlu ada hala tuju menentukan masa depan dan itulah yang telah diterapkan dalam dirinya.

"Kita boleh menjadi apa sahaja yang diingini asalkan ada hala tuju dan usaha gigih. Ingin jadi penari shuffle, tapi biarlah penari berilmu yang boleh menyesuaikan diri dalam apa jua suasana dan bidang.

"Bagi memastikan matlamat tersebut berjaya direalisasikan, maka kita perlu mendapat restu ibu bapa dan taat pada guru," katanya yang sudah dua kali diundang menjayakan MSAM.

Fadzley yang bakal tampil dengan single terbaru, Super Hero Mu pada waktu terdekat ini berkata, menerusi program motivasi yang sudah dilakukannya sejak 10 tahun lalu, beliau berpeluang mendekati golongan remaja dengan lebih dekat.

Pengacara program bual bicara, Suara Siswa pukul 9 malam setiap Selasa menerusi TV1 itu berharap, motivasi yang diberi kepada pelajar, ahli korporat, rakan artis atau orang perseorangan boleh diguna sebagai panduan.

"Apa yang saya sampaikan adalah daripada pengalaman sendiri. Saya seperti orang lain juga terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk meraih kejayaan.

''Sambil memberi motivasi, saya juga berpeluang untuk menambah ilmu kerana pada setiap kesempatan, saya berpeluang menemui pelbagai ragam," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url