Chelsea Juara Piala FA
Pemain Chelsea memberi hadiah perpisahan bermakna buat pengurus sementara, Guus Hiddink selepas menjuarai Piala FA dengan mengalahkan Everton 1-0 di Stadium Wembley, semalam.
Walaupun tersentak dengan jaringan pembukaan Everton ketika perlawanan baru berlangsung seawal 25 saat menerusi Louis Saha, Chelsea tidak cepat melatah dengan jaringan penyamaan melalui Didier Droba pada minit ke-21, sebelum Frank Lampard menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.
Kali terakhir Chelsea menjulang Piala FA ialah dua tahun lalu ketika menewaskan Manchester United 1-0 dan ini merupakan kejuaraan kelima mereka selepas pernah menjuarainya pada 1970, 1997, 2000 dan 2007.
Kemenangan itu akan menjadi lebih bermakna jika pengadil perlawanan mengesahkan jaringan Florent Malouda pada minit ke-78.
Pemain sayap Perancis itu melakukan rembatan dari jarak 30 meter menyaksikan bola terkena palang dan melantun ke bawah melepasi garisan tetapi ia agak sukar buat pengadil mengesahkan jaringan tersebut kecuali melalui ulang tayang di televisyen.
Kedua pasukan hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
Everton yang terus melancar serangan sebaik sepak mula menyaksikan Steven Pienaar berada dalam keadaan ofsaid apabila bola menuju ke arahnya di bahagian sayap kiri, bagaimanapun pengadil meneruskan permainan membolehkan pemain Afrika Selatan itu melakukan hantaran lintang.
Pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel menanduk bola tersebut keluar tetapi menuju ke arah Marouane Fellaini yang menanduk ke arah Saha sebelum penyerang Perancis itu merambat masuk menewaskan Petr Cech.
Ia merupakan jaringan terpantas sepanjang kejohanan tersebut diadakan sejak tahun 1871-72.
– Agensi