Top Ad 728x90

Tidak terhad bidang akademik

Keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhad kepada bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan terhadap perkara lain.

Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sedia mendengar apa jua cadangan serta pandangan daripada pihak luar antaranya parti-parti politik berhubung keputusan kerajaan itu.

''Kita sedia mendengar cadangan dan pandangan mereka mengenai perkara ini. Pintu perbincangan masih terbuka. Tidak kira sama ada pihak MCA atau MIC masing-masing boleh memberikan cadangan dan pandangan.

''Namun begitu seperti yang dinyatakan, kajian pihak kementerian merasakan penekanan tidak harus diberi kepada akademik sahaja tetapi ada beberapa perkara lain yang juga perlu diberi tumpuan yang sama,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Karnival Victoria Institution di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang membantah pelaksanaan mengehadkan 10 subjek dalam peperiksaan SPM mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dalam sebuah akhbar tempatan hari ini pula menyatakan bilangan subjek teras SPM akan dikurangkan kepada tiga atau empat berbanding enam subjek selaras dengan keputusan terbaru kerajaan itu.

Muhyiddin berkata, langkah tersebut juga akan memudahkan pihak kementerian memastikan subjek-subjek teras diberi tumpuan sepenuhnya oleh pelajar.

''Mereka diwajib mengambil subjek teras tetapi dalam masa yang sama mereka boleh mengambil subjek-subjek elektif tetapi tidak boleh lebih 10 subjek,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian mahu pelajar yang dilahirkan serba boleh iaitu bukan setakat bijak dalam akademik tetapi mampu menguasai kemahiran lain terutama berkaitan aktiviti kemasyarakatan.

''Seperti yang dinyatakan sebelum ini, daripada 500,000 pelajar SPM jumlah mereka yang mengambil lebih 10 subjek hanya 10 peratus dan ini juga merupakan salah satu faktor yang diambil kira oleh pihak kementerian,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, proses pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk penentuan calon yang layak dibuat secara telus.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90