UPSI jawab ‘Surat Terbuka’

Surat daripada Pemerhati, Tanjung Malim, bertajuk Surat Terbuka untuk UPSI yang tersiar dalam ruangan ini pada 19 Mei 2009 dirujuk. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ingin memaklumkan bahawa sebahagian perkara-perkara yang ditulis mengenai universiti adalah tidak benar dan berikut adalah respons universiti terhadap isu ini.

A. Bilik Kuliah di Bangunan Canselori.

* Bilik-bilik kuliah di Bangunan Canselori dipindahkan keluar kerana pertambahan staf pentadbiran dan lagi Bangunan Canselori dikhaskan untuk Pentadbiran Universiti.

Tidak ada di mana-mana universiti pun Bangunan Canselori menempatkan bilik-bilik kuliah. Dahulunya bilik-bilik kuliah itu hanya ditempatkan sementara sahaja di Bangunan Canselori.

* UPSI telah menyewa dan mengubahsuai rumah kedai berhampiran dengan UPSI untuk dijadikan bilik-bilik kuliah dan melengkapkannya dengan kemudahan pembelajaran yang sama dengan kemudahan bilik kuliah di dalam kampus.

* Bilangan bilik kuliah di rumah-rumah kedai ini berjumlah 39 buah meliputi 20 unit rumah kedai dengan kos berikut :

I. Rumah kedai Taman Universiti - 13 unit (39 bilik kuliah) x RM3,500 setiap unit sebulan = RM45,500 sebulan atau RM546,000 setahun.

II. Rumah kedai Taman Bernam Baru - 7 unit (14 bilik kuliah) x RM1,100 setiap unit sebulan = RM7,700 sebulan atau RM92,400 setahun.

Jumlah keseluruhan sewaan bilik kuliah adalah RM638,400 setahun (tidak termasuk kos utiliti dan penyelenggaraan lain)

B. Pementasan Bangsawan Puteri Sakdung

* Tidak lebih RM150,000 dibelanjakan dalam Pementasan Bangsawan Puteri Sakdung yang bertujuan untuk membangun dan menyemarakkan seni bangsawan negara. Di samping itu juga, pementasan bertujuan memperkukuhkan pembelajaran pelajar secara praktis selain meningkatkan keupayaan pelajar dalam seni bangsawan dari sudut pengarahan, reka bentuk set, penggubahan muzik, perekaan kostum dan pelbagai aspek pementasan yang lain.

* Selain itu juga kos meliputi penyelidikan, latihan, perolehan peralatan dan sistem PA.

C. Lawatan ke Iran dan China

* Lawatan berkenaan bertujuan untuk pengambilan pelajar-pelajar antarabangsa dan memeterai perjanjian persefahaman MoU bagi perkara-perkara berikut :

I. Pada sesi Julai 2009/2010 ini seramai 34 pelajar dari Southeast University’s College of Music, China akan memulakan pengajian Tahun 2 sehingga Tahun 4 di UPSI.

II. MoU untuk program 2 + 2 Program Pengajian Muzik dan Bahasa Mandarin antara UPSI dan Chongqing University, China dan University of Science & Technology, China.

III. Pada sesi ini seramai tiga (3) orang pelajar negara Iran telah mendaftar sebagai pelajar Program Pasca Siswazah UPSI.

IV. Ini akan disusuli dengan seorang professor bidang Kemahiran Hidup yang akan melapor diri Julai 2009 dan seorang lagi akan buat sabatikal bidang Kaunseling.

V. MoU telah dimeterai dengan Masshad University dan University of Tehran.

D. WIFI UPSI

* UPSI telah upgrade kemudahan WiFi daripada 68MB kepada 310MB di mana 4000 pelajar boleh mengakses secara serentak.

* Dengan jumlah pengguna yang ramai menyebabkan pengaksesan Internet secara serentak ini menjadi perlahan.

* Walau bagaimanapun, kemudahan WIFI UPSI adalah antara yang terbaik di Malaysia.

E. Bangunan E Learning

* Dijangka siap sepenuhnya Disember 2009.

* Di dalam bangunan ini akan menempatkan ruang pejabat termasuk 8 buah bilik kuliah dengan kapasiti 200 pelajar bagi setiap bilik dan 8 buah makmal komputer yang boleh dijadikan bilik kuliah.

* Kelewatan disebabkan kegawatan ekonomi. Walau bagaimanapun, mesyuarat tapak diadakan setiap bulan yang dipengerusikan oleh Naib Canselor sejak Januari 2008 untuk memantau kemajuan projek berkenaan.

F. Logo

* UPSI tidak tukar logo tetapi kembali menggunakan logo asal.

G. Ijazah Sarjana Muda FTMK

* Pada tahun 1997 keperluan terhadap kursus amat mendesak tetapi kini tidak lagi apabila kebanyakan IPT lain menawarkan kursus yang serupa.

* Oleh yang demikian, UPSI menawarkan kursus-kursus Teknologi Maklumat untuk open market.

* Pelajar-pelajar juga tidak sahaja menjadi guru-guru tetapi ada yang bekerja dengan pihak swasta, menjadi pensyarah di kolej komuniti, matrikulasi dan politeknik.

H. Bergabung dengan IPG

* Tidak sesuai bergabung kerana UPSI bukan sahaja menawarkan kursus pendidikan tetapi kursus lain terutama di peringkat Pasca Siswazah.

I. Penerbitan

* Sehingga bulan Mei 2009 sebanyak lima (5) buah buku telah diterbitkan. Judul buku adalah seperti berikut :

I. Psikologi Perkembangan Panduan untuk Guru

II. Jurnal Sains dan Matematik

III. Jurnal Bahasa Inggeris

IV. Pendidikan Pembangunan Modal Insan

V. Organisasi Pengurusan Perakaunan, Ekonomi, Keusahawanan (Siri bacaan Malim)

VI. Warna Kalbu Zaman Dewasa (sepatutnya diterbitkan pada April 2009, tetapi terpaksa ditangguhkan atas permintaan waris kepada penulis, Arena Wati kerana penulis baru meninggal dunia)

* Di samping senarai di atas terdapat lima (5) buah buku yang akan diterbitkan menjelang pertengahan tahun ini dan 18 buah buku akan diulang cetak.

* Berdasarkan jumlah buku yang telah dan akan diterbitkan, sasaran Penerbit Universiti untuk menerbitkan 24 buah buku untuk tahun ini akan tercapai.

* Tiada manuskrip yang ditolak oleh Penerbit universiti bagi tahun 2009.

* Sepanjang tahun 2002 hingga 2008 sebanyak lima (5) manuskrip yang ditolak berdasarkan kepada kualiti yang rendah dan tidak mempunyai tahap keilmiahan yang sewajarnya. Jika diterbitkan reputasi UPSI akan terjejas.

* Royalti dibayar sebanyak dua kali seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tetap Kewangan (JKTK). Pembayaran pertama adalah secara lump-sum, tiga bulan selepas buku dicetak. Manakala bayaran berikutnya dibuat berdasarkan kepada jualan buku tersebut. Kelewatan mungkin berlaku pada bayaran kedua kerana pembayaran hanya akan dibuat jika 80% buku tersebut telah terjual.

* Tempoh penerbitan buku adalah 6 bulan.

J. Hala tuju UPSI

* Merekayasa Universiti Gemilang adalah hala tuju UPSI 2007 - 2015. (Buku tersebut telah diedar kepada staf).

* Amanat Naib Canselor setiap tahun memang sifatnya amanat untuk tahun berkenaan. (Amanat Naib Canselor boleh dimuat turun melalui laman web UPSI.)

K. Pengubahsuaian kaki lima dan landskap

* Pengubahsuaian dilakukan untuk menyediakan UPSI sebagai kampus mesra OKU.

Pihak universiti mengharapkan maklum balas ini menjawab Surat Terbuka Untuk UPSI berkenaan.

PROF. DR. MOHAMMED ZIN NORDIN
Pengarah Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa UPSI

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url