10 Ahli Parlimen Pas tolak kerajaan perpaduan

Sepuluh daripada 24 Ahli Parlimen Pas semalam mengisytiharkan untuk menyokong ketegasan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menangani persoalan kerajaan perpaduan dan menolak idea berkenaan yang dikatakan tidak pernah menjadi agenda parti itu.

Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Dalam kenyataan ringkas itu, mereka menegaskan pentingnya Pas berpegang teguh pada keputusan Muktamar Pas yang sebulat suara mahu Pas memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk konsep kerajaan perpaduan.

“Kami menyokong penuh ketegasan Mursyidul Am Pas dalam menangani persoalan ini dan untuk mengelak sebarang kekeliruan, kami ingin menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah menjadi agenda Pas,” kata kenyataan itu yang disertakan dengan tanda tangan 10 anggota Dewan Rakyat berkenaan.

Kenyataan itu juga merujuk penjelasan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berhubung perkara itu.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata, beliau akan bertemu dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, bagi merungkai kemelut berkenaan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url