Konflik Umno Terengganu parah jika berlarutan - Hishamuddin
"Kalau dibiarkan (kemelut di Terengganu)... Saya lihat ia akan jadi masalah yang besar.
"Kalau pihak ketiga tidak diminta untuk memimpin, mungkin ia tidak dapat diselesaikan," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.
Beliau, yang kini dilantik pengerusi perhubungan Umno negeri, berkata perpecahan dalam parti itu akibat beberapa personaliti dan pergeseran di beberapa bahagian – dipercayai bermula sejak pilihanraya umum Mac tahun lepas.
"Saya lihat tidaklah mendalam sangat. Ia berkisar kepada personaliti, berkisar kepada sejarah, pada suasana yang berlaku di beberapa bahagian.
"Bukan semua, mungkin tiga bahagian sahaja," katanya dalam satu wawancara khas dengan Utusan Malaysia.
Wawancara ini - yang diterbitkan dua hari selepas rombakan Umno negeri yang agak lewat - menarik perhatian kerana ia jarang disiarkan. Selalunya wawancara seumpama ini diterbitkan hujung minggu dalam kolum tetap Mingguan Malaysia.
Hishammuddin bagaimanapun enggan menyebut secara khusus "dua personaliti" - Ahmad dan Idris - terlibat tetapi mengakui memang wujud masalah yang "dibayangi personaliti tertentu."
"Personaliti-personaliti tertentu berada dalam keadaan sama ada suka atau tidak, terpaksa memimpin. Akhirnya wujud keretakan dan juga puak-puak tertentu dibayangi oleh personaliti-personaliti tertentu.
"Sama ada satu, dua atau tiga, perkara ini saya tidak nafikan memang wujud," katanya apabila ditanya sama ada benar konflik Umno negeri melibatkan dua tokoh sahaja.
Ditanya lagi sama ada hubungan Ahmad dan Idris dapat dipulihkan untuk kebaikan Umno negeri, Hishammuddin berkata:
"Mereka pemimpin berjiwa besar, mungkin kami bertiga ini kalau tidak dilaga-lagakan dan kami sendiri tidak benarkan dipengaruhi pihak-pihak lain, saya yakin ia boleh menjadi satu realiti.
"Perlu dibina, dipulih dan dijauhkan syak wasangka. Dengan kehadiran saya dan bimbingan daripada pucuk pimpinan, saya rasa itu dapat bantu mengeratkan semula hubungan antara mereka berdua."
Mengulas ketidakhadiran bekas menteri besar itu sebagai petanda bahawa isu Umno negeri masih jauh daripada penyelesaian, Hishammuddin berkata Idris berada di London sewaktu mesyuarat kelmarin dan tidak sempat hadir walaupun menyatakan untuk pulang.
"Saya lihat tidak ada isu dengan ketidakhadiran Idris itu. Bila perjumpaan dibuat sebelum ini, ia melibatkan saya, Ahmad Said dan Idris.
"Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini," katanya.
Hishammuddin turut menjelaskan rasional beliau menggugurkan tiga pemimpin dan melantik muka baru dalam barisan pemimpin badan perhubungan Umno Terengganu.
"Kita perlukan muka dan wajah baru yang kita lantik pun belum betul-betul diuji dan ujian itu tidak bersandar kepada polemik kumpulan-kumpulan atau individu tertentu," katanya.
"Ia diuji daripada segi prestasi kerja, mereka diuji daripada segi bagaimana mereka dapat rapatkan barisan.
"Kalau sekiranya mereka tidak dapat menunaikannya maka akhirnya nasib yang sama terjadi pada mereka seperti mereka yang terdahulu."
- MALAYSIAKINI